Thursday, July 29, 2010

Status Kursus BTN untuk Guru (Baru) Lantikan Pertama

Berikut petikan daripada laman sesawang KPPK / NUTP Online berhubung Kursus BTN bagi guru (baru) lantikan pertama:

PENJELASAN KENYATAAN AKHBAR MENGENAI KURSUS BTN UNTUK GURU (BARU) LANTIKAN PERTAMA

Pihak KPPK ingin memaklumkan bahawa berdasarkan Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2005 perenggan 4 menyatakan pegawai yang disyaratkan mengikut Kursus / Modul Kenegaraan adalah:

a) Pegawai lantikan pertama dalam perkhidmatan awam yang belum disahkan perkhidmatannya; atau

b) Pegawai yang telah disahkan dalam perkhidmatan tetapi tempoh perkhidmatannya adalah kurang daripada tiga (3) tahun pada 1 Januari dan belum mengikuti Kursus Kenegaraan.

Di perenggan 5 pula menyatakan Integrasi Modul Kenegaraan dalam Kursus Induksi boleh dilaksanakan secara berturutan seperti berikut:

a) Modul Kenegaraan - Induksi Umum - Induksi Khusus; atau

b) Modul Induksi Khusus - Induksi Umum - Moduk Kenegaraan; atau

c) Modul Induksi Umum - Modul Kenegaraan - Induksi Khusus

Oleh itu, semua guru-guru baru mesti lulus Kursus BTN untuk membolehkan mereka disahkan dalam jawatan. Manakala bagi anjakan gaji, guru lantikan pertama juga wajib lulus kursus BTN untuk melayakkan diri menikmati anjakan gaji.

Kini terdapat sekumpulan guru-guru baru yang tidak dapat disahkan dalam jawatan dan tidak dapat menikmati anjakan gaji kerana belum menghadiri Kursus BTN.

KPPK dimaklumkan Kursus BTN untuk guru-guru baru kemungkinan tidak dapat diadakan kerana masalah peruntukan terhad.

Sehubungan dengan itu, adalah lebih baik bagi semua guru-guru baru yang telah lulus Temuduga SPP meminta penjelasan daripada pihak terbabit atau pihak sekolah berhubung keperluan Kursus BTN dalam urusan pengesahan jawatan dan anjakan gaji. Ini kerana guru-guru lepasan maktab atau IPG sebelum ini telah menjalani Kursus BTN terlebih dahulu sebelum dihantar berkhidmat berbeza dengan GSTS (Guru Sandaran Terlatih Siswazah) keluaran mulai Disember 2009, justeru dibimbangi pihak sekolah khususnya terlepas pandang akan hal ini. Jika benar Kursus BTN menjadi syarat pengesahan jawatan dan anjakan gaji, dikhuatiri anjakan gaji yang diperolehi perlu dibayar semula (biasanya melalui potongan gaji) lantaran pihak sekolah tidak sedar guru tersebut belum menjalani Kursus BTN. Mohon tindakan dan respon sahabat-sahabat.

Terima kasih.

Wednesday, July 21, 2010

Pengiktirafan Kelayakan JPA

Memandangkan baru-baru ini terdengar kembali desas-desus akan isu PISMK OUM yang diragui pengiktirafannya, di sini kami cuba sertakan 'link' ke laman sesawang JPA yang menunjukkan bahawa mereka telah mengiktiraf Ijazah Sarjana Muda Keguruan yang telah dianugerahkan kepada graduan OUM pada 18 Mac 2010 bertempat di Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur sebagai rujukan rakan-rakan. Marilah kita berdoa semoga tiada kesilapan dilakukan dan apa yang dipaparkan sahih belaka, InsyaAllah.

(Sila klik imej untuk link ke laman sesawang tersebut)

Saturday, July 3, 2010

Mansuh UPSR dan PMR belum muktamad

Cadangan memansuhkan UPSR dan PMR masih dalam peringkat cadangan dan keputusan muktamad mengenainya masih belum dibuat. Namun demikian sudah ramai pihak memberikan reaksi balas dalam pelbagai alasan mengenai cadangan tersebut.

Reaksi ingin mengekalkan kedua bentuk peperiksaan itu dengan alasan sebagai kayu pengukur pencapaian pelajar masih boleh dibincangkan kerana apabila peperiksaan tersebut dimansuhkan, Kementerian Pelajaran akan menggantikannya dengan sistem penilaian berasaskan sekolah.

Ada juga reaksi yang mengatakan apabila memansuhkan UPSR dan PMR akan menyebabkan potensi pelajar tidak mampu dilihat oleh banyak pihak atas alasan tiada kayu pengukur. Reaksi tersebut nampaknya masih mempertahankan pengekalan UPSR dan PMR sebagai satu-satunya kaedah yang boleh dijadikan asas mengenalpasti potensi pelajar.

Masih banyak lagi kaedah yang boleh digunakan. Jika kedua bentuk peperiksaan tersebut dimansuhkan, bermakna guru-guru mempunyai masa yang mencukupi untuk melihat potensi pelajar dan seterusnya membimbing mereka untuk membuat pilihan tepat sebaik sahaja selesai menduduki peperiksaan selepas menjalani proses persekolahan selama 11 tahun.

Dari situ pihak sekolah dapat mengesan prestasi akademik seseorang pelajar. Bagi yang cemerlang mereka boleh memilih untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma atau memasuki institut pengajian dalam bidang akademik dan aliran teknikal.

Bagi yang mencapai tahap akademik sederhana, kumpulan ini merupakan kumpulan terbesar berdasarkan keputusan peperiksaan SPM boleh memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang vokasional ataupun pusat-pusat pendidikan yang berdasarkan bakat dan kecenderungan. Mereka mungkin mempunyai bakat dalam bidang seni, sukan ataupun bidang-bidang tertentu yang boleh dikembangkan menjadi bidang kerjaya yang menguntungkan.

Sudah menjadi kelaziman ibu bapa melihat bahawa pendidikan akademik mengatasi semua aspek kerjaya maka kedudukan pendidikan vokasional menjadi pilihan terakhir. Kalau kita meneliti perkembangan yang berlaku di banyak negara, bidang pendidikan vokasional sudah menjadi sesuatu yang penting kerana ia telah menyumbang kepada sejumlah besar tenaga kerja yang diperlukan oleh industri. Cuma kerana golongan tersebut dilihat sebagai pekerja kolar biru maka banyak di antara ahli masyarakat merendah-rendahkannya walhal dari segi pendapatan, ianya lebih besar berbanding mereka yang cemerlang dalam akademik.

Sebahagian masyarakat mungkin sedar bahawa kemahiran vokasional yang ada dalam kalangan pengusaha bengkel membaiki kereta, pemasangan dan membaiki peralatan hawa dingin, pendawaian dan sebagainya telah menjadikan mereka sebagai pelengkap dalam kehidupan seharian kita. Maka adalah wajar masyarakat meyorot kembali keupayaan bidang tersebut sebagai satu bentuk kerjaya yang menarik. Anak kita mungkin mempunyai minat mengenainya, tetapi kadangkala kita telah melakukan kesilapan dengan tidak memberikan mereka peluang atas alasan bukan bidang kerjaya berprestij.

Bagi mereka yang mencapai tahap akademik yang lemah, mereka mungkin boleh mengikuti program dalam bidang kemahiran. Bidang kemahiran juga menjanjikan pendapatan yang lumayan. Adakalanya melebihi pendapatan bulanan seorang yang berpangkat pengurus di sebuah syarikat jika bidang tersebut benar-benar diceburi dalam jangka masa panjang. Seorang pereka fesyen misalnya boleh membina empayar perniagaan dan mampu menjadi jutawan atas kesungguhan dan kecekalannya menekuni bidang kemahiran rekaan fesyen.

Seorang pengusaha lanskap mampu meraih pendapatan yang tinggi kerana menggunakan kemahiran yang diperolehnya membentuk sebuah taman di rumah-rumah pelanggan dengan kreatif dan inovatif. Sebatang tunggul kayu telah dijual dengan ribuan ringgit, kerana tunggul kayu itu dilihat mempunyai nilai artistik.

Bagi mereka yang kreatif dan berkemahiran, seketul batu yang tidak mempunyai nilai bagi sesetengah orang menjadi bahan yang amat berharga. Mereka telah menyusunnya menjadi suatu bentuk hiasan yang boleh mempesonakan setiap mata memandang, malah ada pihak sanggup membelinya walaupun dengan harga yang mahal. Inilah potensi yang seharusnya perlu dilihat dan digilap dalam sistem pembelajaran sejagat yang bakal diperkenalkan melalui transformasi sistem pendidikan yang sedang dalam pelaksanaan.

Hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan yang mampu bersaing dan kebolehpasaran yang tinggi sebenarnya tidak banyak bergantung kepada kecemerlangan akademik. Ini pula tidak bermakna negara tidak memerlukan mereka yang cemerlang akademik, tetapi kecemerlangan mereka perlulah sampai ke tahap yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Mereka yang cemerlang dalam bidang akademik boleh menekuni bidang penyelidikan dan pembangunan, kerana kekuatan ekonomi sesebuah negara pada masa depan adalah berteraskan keupayaan tersebut. Lima puluh tahun lalu ramai rakyat Malaysia tidak yakin dengan barangan keluaran Korea Selatan, tetapi kerana keupayaan sistem pendidikannya menyediakan lebih banyak modal insan berkemahiran dan kesungguhan penyelidikan, produk negara tersebut sudah mampu mengatasi produk-produk dari negara pengeluar tradisi bahkan semakin menyaingi produk keluaran Jepun dan Eropah yang pernah kita banggakan di suatu ketika.

Produk Korea seperti automotif, barangan penjagaan kesihatan, peralatan elektrik bahkan program televisyen sudah menembusi banyak negara dan Malaysia tidak terkecuali. Kita kenal sejak kebelakangan ini ada jenama bagi kenderaan ialah Hyundai dan Kia; elektrik LG dan Samsung; peralatan sokongan kesihatan Ceragem dan Coway; program televisyen Winter Sonata; tayar kenderaan Roadstar dan Falken sehingga menjadikan negara tersebut di kedudukan ketujuh dunia dari segi jumlah perdagangan.

Banyak negara sudah mengamalkan hanya satu bentuk peperiksaan awam dalam sistem pendidikan mereka setelah seorang kanak-kanak menjalani tempoh persekolahan 11 atau 12 tahun. Jerman sudah lama mempraktikkanya kerana negara itu sedar keperluan pendidikan teknik dan vokasional boleh membantu menjadikannya sebagai faktor yang dapat melonjak pertumbuhan ekonomi.

Jerman memerlukan ramai pekerja mahir dan separuh mahir bagi memenuhi keperluan industri. Sweeden turut melaksanakan hal sama dan kerana itulah lebih 40 peratus pelajarnya memasuki pendidikan teknik dan vokasional, manakala dalam bidang akademik hanyalah sekitar 20 peratus. Selebihnya akan menekuni bidang-bidang kemahiran yang tidak banyak memerlukan kecekapan akademik.

Seperti kata Menteri Pelajaran, reaksi dan pendapat yang dikemukakan akan dikaji dengan teliti sebelum memuktamadkan cadangan tersebut. Masyarakat boleh mengemukakan cadangan, pendapat dan reaksi kerana transformasi sistem pendidikan itu memerlukan sokongan ramai bagi membolehkannya mencapai matlamat.

Persidangan meja bulat membincangkan maklumbalas mengenai cadangan tersebut dijangka akan diadakan dalam masa terdekat. Dan, tentunya rumusannya nanti bakal memuktamadkan keputusan sama ada UPSR dan PMR dimansuhkan, ataupun sebaliknya.

(Sumber dipetik daripada Blog Kementerian Pelajaran Malaysia bertarikh 30 Jun 2010)

Saturday, June 26, 2010

Kementerian cadang mansuh UPSR, PMR: Langkah ubah sistem pendidikan orientasi peperiksaan

Oleh: Junita Mat Rasid

PAGOH: Kementerian Pelajaran akan mencadangkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan bagi membolehkan pelajar di negara ini menduduki hanya satu peperiksaan awam sepanjang 11 tahun persekolahan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata cadangan pemansuhan peperiksaan itu kepada kerajaan akan mengubah sistem pendidikan negara yang kini terlalu berorientasikan peperiksaan menyebabkan matlamat melahirkan modal insan serba boleh yang mempunyai keterampilan tinggi gagal dicapai.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua peperiksaan itu mungkin juga diteruskan, tetapi bukan lagi berstatus peperiksaan awam seperti sekarang, sebaliknya dijadikan penilaian pencapaian pelajar di peringkat sekolah saja.

"Pihak kami sedang fikirkan sama ada akan kekalkan atau perlu hanya satu saja peperiksaan awam, seperti (contohnya) pada peringkat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) saja.

"Jika kita terlalu menjurus kepada peperiksaan, ia akan menyebabkan matlamat ke sekolah untuk menuntut ilmu, lebih kreatif dan menambah pengetahuan secara lebih holistik tidak akan dicapai sepenuhnya," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Pagoh, di Kompleks Seri Pekembar, di sini, semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, cadangan mengekalkan satu peperiksaan saja pada peringkat sekolah itu juga berkaitan dengan langkah kementerian untuk merombak sistem pendidikan dan mengubah bentuk kokurikulum di peringkat sekolah.

Beliau berkata, pada masa ini, sistem pendidikan yang terlalu cenderung dengan peperiksaan menyebabkan guru terlalu fokus untuk mencapai kecemerlangan peperiksaan dan pelajar terlalu menumpukan usaha untuk cemerlang dalam peperiksaan awal saja.
“Adalah lebih wajar jika penilaian pencapaian pelajar dibuat pada peringkat akhir selepas 11 tahun di sekolah iaitu dengan hanya mengekalkan peperiksaan SPM sebelum mereka menyambung pelajaran ke peringkat universiti.

"Dalam soal kerjaya dan kerja, orang tak pakai lagi PMR dan UPSR, orang (bakal majikan) tak tanya pun keputusan PMR atau UPSR, sebaliknya hanya keputusan SPM dan peringkat universiti yang diambil kira," katanya.

Bagaimanapun Muhyiddin berkata, pihaknya tidak tergesa-gesa untuk membuat keputusan memansuhkan peperiksaan itu kerana perlu mengkaji implikasi lain selain mengalu-alukan pandangan semua pihak termasuk warga pendidik, pelajar dan masyarakat.

Katanya, kajian pihaknya juga mendapati ada negara lain yang tidak mempunyai banyak peperiksaan seperti di Malaysia, malah ada sesetengah negara yang hanya mempunyai satu peperiksaan saja pada peringkat sekolah.

"Di Malaysia, ini adalah kesan daripada sistem yang terlalu ala peperiksaan menyebabkan fokus kita hanya berdasarkan keputusan peperiksaan, semua A atau 12A+ menyebabkan kita perlu meneliti untuk mengubah sistem itu," katanya.

Beliau berkata, pengurangan peperiksaan di peringkat sekolah itu membolehkan pelajar mempunyai banyak masa untuk menumpukan kepada mata pelajaran tertentu dan kegiatan sukan, sekali gus memberi kesan positif kepada keseluruhan cara pendidikan pelajaran.

(Sumber dari Berita Harian Online bertarikh 21 Jun 2010)

Sunday, June 20, 2010

Semakan Keputusan Kursus Induksi Sistem Saraan Malaysia secara online!


Bagi makluman pengunjung blog 'Great Murabbi' khususnya mereka yang telah mengikuti Kursus Induksi Modul Umum/Kursus, kini anda boleh menyemak keputusan anda secara online. Caranya mudah, layari laman sesawang http://www.moe.gov.my/kissm/induksi.php dan masukkan nombor kad pengenalan. Anda juga boleh mencetak keputusan tersebut dengan menekan butang 'cetak' yang terdapat pada paparan tersebut. Selamat mencuba!


Selamat kembali menjalankan tugas, cikgu!


Pejam celik.. pejam celik.. dua minggu cuti pertengahan tahun kini telah berlalu. Bagi mereka yang berada di Kedah, Terengganu dan Kelantan, hari ini merupakan hari pertama semester atau penggal kedua persekolahan manakala bagi negeri-negeri yang lain, insya-Allah esok kembali menjejakkan kaki ke sekolah. Bagi guru-guru yang mula berkhidmat pada akhir Disember 2009 dan awal Januari 2010, tentunya ini merupakan pengalaman baru berada di penggal kedua persekolahan. Mungkin juga banyak tugas yang perlu diselesaikan berbanding penggal pertama. Oleh itu kepada semua guru-guru, kami warga Alumni PISMK OUM PI ingin mengucapkan "Selamat Kembali Bertugas!"

Saturday, June 19, 2010

NKRA Pendidikan

The Government is set to begin the transformation process in strengthening the efficiency of its delivery system

The KPI / KRA are not mere acronyms as they offer clear measures designed to ensure that the government is continuously working to better serve the needs of Malaysians
Our real work will begin as we make the transformation of government services happen
BIDANG KEBERHASILAN UTAMA NEGARA (NKRA) PENDIDIKAN
Dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan, kerajaan akan memberi tumpuan kepada 4 sub-NKRA untuk meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan.

(klik imej untuk paparan yang lebih jelas)

1. Sub-NKRA Prasekolah
7 teras untuk meluaskan akses kepada pendidikan prasekolah yang berkualiti dan berkemampuan:
1. Penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Prasokolah Kebangsaan dan Bahagian Prasekolah dan PERMATA Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)
2. Perlaksanaan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK)
3. Menyeragamkan bantuan kepada murid prasekolah kerajaan
4. Meningkatkan kualiti guru dan pembantu guru
5. Menambah bilangan kelas prasekolah di kawasan miskin Bandar, luar Bandar dan pedalaman
6. Meningkatkan Perkongsian Pintar Kerajaan-Swasta dalam pendidikan Prasekolah.
7. Mewujudkan Sistem Maklumat Prasekolah Kebangsaan

2. Sub-NKRA Literasi dan Numerasi
NKRA – Peluasan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan
Setiap kanak-kanak* menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi selepas 3 tahun mengikuti pendidikan rendah pada akhir tahun 2012

*Kanak-kanak berkeperluan khas – didefinisikan sebagai murid bermasalah pembelajaran, masalah pendengaran, masalah pertuturan, masalah penglihatan, terencat akal, mempunyai pelbagai kecacatan, dan kurang upaya secara fizikal. Kurikulum khas literasi dan numerasi dibentuk untuk kanak-kanak berkeperluan khas.

3. Sub-NKRA Sekolah Berprestasi Tinggi

3.1 Mengangkat kualiti sekolah-sekolah yang terbaik
Meningkatkan kualiti pencapaian institusi pendidikan melalui peningkatan tahap autonomi dan akauntabiliti, membenarkan sekolah melaksanakan inovasi dalam pengurusan masing-masing (pemusatan dalam aspek kurikulum dan anggota perkhidmatan)

3.2 Menghasilkan pelajar yang cemerlang
Sebagai tempat untuk melatihkan pelajar cemerlang bertaraf antarabangsa dan yang menjadi personaliti unggul dalam semua bidang

3.3 Merapatkan jurang antara sekolah-sekolah di dalam sistem
Sebagai inspirasi kepada sekolah-sekolah lain untuk membangunkan kecemerlangan tahap yang lebih tinggi melalui bimbingan dan jaringan antara sekolah sekolah tersebut.

4. Sub-NKRA Tawaran Baru kepada Pemimpin Sekolah
Meningkatkan kualiti keberhasilan murid menerusi peningkatan prestasi pemimpin sekolah di Malaysia:

(klik imej untuk paparan yang lebih jelas)

Sumber dipetik dari Portal Rasmi NKRA Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia.

p/s : Sila klik untuk muat turun NKRA KPM versi PDF