PUTRAJAYA, 27 Julai (Bernama) - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin mengumumkan Indeks Prestasi Utama (KPI) enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), termasuk membabitkan bidang usaha bagi mengurangkan kadar jenayah, dan memerangi rasuah.
Bidang-bidang lain termasuk meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan; meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah; memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman; dan menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.
"Saya ingin mengisytiharkan bahawa bagi setiap NKRA, seorang menteri akan dilantik sebagai 'lead minister' atau menteri pimpinan bagi menerajui NKRA yang ditetapkan," katanya ketika berucap di majlis Perdana Menteri Bersama Anggota Pentadbiran dan penjawat Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.
Menurutnya bagi NKRA untuk meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan, menterinya ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pelajaran), manakala bagi mengurangkan kadar jenayah, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Dalam Negeri), dan NKRA memerangi rasuah, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).
Bagi NKRA tingkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah pula menterinya ialah Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman Datuk Seri Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), dan menambah baik pengangkutan awam, menterinya ialah Datuk Seri Ong Tee Keat (Menteri Pengangkutan).
“Hari ini saya akan letakkan KPI kepada 6 jurusan NKRA tersebut. Untuk setiap NKRA, akan dikenal pasti pula KPI-KPInya dengan sasaran khusus agar dapat diukur.”
"Dengan adanya KPI ini, maka segala prosedur akan diperkemas, segala sumber dan tenaga dalam organisasi akan digembleng dan segala usaha akan ditumpu untuk mencapai sasaran yang dipateri dalam satu tempoh masa munasabah yang dijanjikan," katanya.
Najib berkata kerajaan komited melakukan proses transformasi melalui pengurusan berteraskan pencapaian dengan menggunakan kaedah penetapan NKRA dan pengukuran KPI.
Beliau berkata semua ini dilakukan bagi memastikan akhirnya rakyatlah yang akan memperoleh segala faedah nanti.
Menurutnya beliau selaku Perdana Menteri akan bertanggungjawab secara keseluruhan terhadap matlamat NKRA dan pencapaian KPI tersebut.
"Setiap minggu saya akan berjumpa dengan setiap 'lead minister' ini bagi menilai pencapaian KPI yang ditentukan. Maknanya dalam setiap enam minggu, saya akan dapat menyelesaikan satu pusingan penilaian pencapaian bagi enam lapangan NKRA seperti yang direncanakan," katanya.
Sehubungan itu, Najib berkata anggota Jemaah Menteri lain yang tidak termasuk dalam NKRA pula tidak terkecuali daripada mempunyai KPI kerana mereka tetap dipertanggungjawab untuk mencapai KPI kementerian masing-masing, yang akan dinilai oleh Perdana Menteri sendiri setiap enam bulan.
Beliau mengakui pengenalan NKRA dan KPI bukan satu perkara yang baru, namun menurutnya "keluasan dan keperincian inisiatif" yang ditekankan pentadbiran sekarang adalah sesuatu yang "belum pernah ditampilkan sebelum ini" dan menjadi tanda aras yang terkini.
"Selain itu sesuai dengan pengumuman saya ketika berucap merasmikan majlis perjumpaan bersama perkhidmatan awam mengenai 'cross-fertilisation', suka saya umumkan bahawa 20 nama kakitangan kerajaan dan 20 kakitangan GLC sudah dikenal pasti untuk ditempatkan dalam program ini yang dijadualkan bermula 1 Sept ini," katanya.
Najib berkata sebagai ketua kerajaan beliau insaf bahawa yang akan menilai kepimpinan beliau akhirnya adalah rakyat sendiri.
"Saya sedar bahawa apa yang digariskan hari ini adalah sesuatu yang monumental. Ia melibatkan komitmen mendalam dan tuntutan yang tinggi kepada anggota pentadbiran dan penjawat awam secara kolektif.”
"Yang nyata, amanah yang diberikan oleh tuan-tuan dan puan-puan di atas jemala pentadbiran ini bukanlah perkara yang mudah, sebaliknya saya bertanggungjawab untuk membuat perkara yang betul walaupun ia sukar.”
"Jelas sekali kita tidak punyai pilihan, sama ada bergerak maju ke hadapan dengan penuh yakin, atau mengambil risiko untuk ditinggalkan dalam perlumbaan global yang sengit," kata Perdana Menteri.
Sumber : www.1 Malaysia.com.my
No comments:
Post a Comment