Sunday, May 30, 2010

Siapa Sebenarnya yang Terseksa?

Oleh : En Abu Samah bin Zainal Abidin,
Penyelia Kanan Matematik (Rendah), Sektor Pengurusan Akademik, JPN Johor

Syukur Alhamdulillah kita masih lagi diberi kesempatan untuk bernafas dan diterima untuk menyambung keberkatan yang diterima melalui seseorang yang dipanggil guru yang telah mendidik kita suatu masa dahulu. Cuba imbau kembali di hari pertama kita menjejak kaki di sekolah dan kita dipanggil … murid.

Kesungguhan guru ketika itu tidak ada tolok bandingnya. Kesungguhan itulah menjadi inspirasi murid untuk belajar. Kesungguhan itu jugalah yang kita warisi sehingga hari ini. Apakah kita mampu mempertahankan roh kesungguhan itu untuk beberapa ketika lagi Kita kurang pasti. Apakah kita yang bersalah kerana gagal mempertahankannya?

Kepayahan lebih mudah mendidik kita. Menyedarkan kita tentang erti tanggungjawab, erti kesungguhan, erti peranan seorang guru dalam masyarakat dan erti pentingnya menyambung keberkatan Allah.

Kebelakangan ini tiupan bebanan tugas guru semakin kencang. Apa itu beban? Siapa yang mewujudkan beban? Siapa yang memikul beban dan siapa yang terbeban.? Rungutan, guru banyak membuat kerja perkeranian. Sebenarnya, apa bidang tugas kerani yang guru maksudkan? Siapa sebenarnya di kalangan guru yang merungut tentang beban tugas?

Sebahagian guru adalah orang yang hebat. Mampu membuat beberapa pekerjaan dalam satu masa. Sempat menguruskan kedai kain, restoran, jualan langsung, kedai elektrik, insurans, pakej perkahwinan, kereta sewa, bot sewa, pusat tuisyen dan seribu macam kerja yang tidak ada kaitan langsung dengan pendidikan. Adakah mereka ini yang merungut kerana masa mereka terganggu? Atau guru yang terpaksa mendukung biawak hidup itu yang merungut?

Alasan yang digunakan adalah tugas guru mengajar di bilik darjah. Peruntukan masa seminggu untuk seseorang guru 13 jam maksima.

Wahai guru adakah anda faham apa itu mengajar dan belajar, apa itu pengajaran dan pembelajaran, apa itu persediaan mengajar dan apa itu penilaian? Ini adalah perkara pokok dunia kita. Sekiranya terdapat pihak-pihak tertentu yang mempertikaikan masa 13 jam seminggu untuk guru terlalu sedikit, sayalah orang yang pertama mempertahankannya. Sepatutnya seseorang guru itu perlu menyediakan bukan satu buku persediaan seperti yang ada sekarang tetapi tiga buah buku. Perlu ada buku rekod persediaan sebelum mengajar. Apa yang dirangka diterjemahkan dalam buku persediaan semasa mengajar seperti sedang digunakan sekarang. Refleksi selepas dari pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan dan tindakan selanjutnya direkod dalam buku penilaian pengajaran dan pembelajaran. Latihan murid perlu diberi secukupnya dan mengikut standard dan disemak dengan teliti. Perkembangan kognitif murid terhadap tajuk,sub tajuk dan kemahiran yang diajar mesti direkod setiap kali selepas pengajaran dan pembelajaran. Penambahbaikan perlu dilakukan setiap masa terutama kepada murid yang lemah. Guru mesti betul-betul kenal dan tahu perkembangan setiap murid yang diajar dan di sinilah head-count dapat membantu guru. Dalam hal-hal tertentu kajian tindakan perlu dibuat oleh guru mencari jalan untuk membantu murid yang memerlukan. Selain daripada perkembangan kognitif, perkembangan efektif dan psikomotor murid juga perlu direkod dengan betul dan diteliti setiap masa. Bagi guru-guru yang bijak mereka menganggap bahawa head-count dan kajian tindakan merupakan satu proses pengajaran dan pembelajaran (tidak boleh dipisahkan) di bilik darjah sebagaimana yang dituntut oleh guru sebagai hak bahawa tugas guru adalah mengajar di bilik darjah.

Adakah perkara yang diperkatakan tadi dianggap sebagai kerja perkeranian? Sekira jawapannya ya, siapa sebenarnya yang terseksa, guru atau murid ?

Adakah gaji yang diterima dan dimakan bersama anak-anak dan isteri berpadanan dengan tugas dan tanggungjawab yang telah dilaksanakan. Alangkah malunya apabila tongkat waran berbicara!

Jangan memungkiri janji kita semasa memasuki ‘dunia’ ini dulu. Amanah yang diberi jangan dipersiakan.

Adakah anda sudah menjadi agen perubahan yang sebenar-sebenarnya? Janganlah anda menghina’ dunia’ kita ini. Dimana letaknya jati diri kita sebagai guru. Jangan jadikan pekerjaan guru ini sebagai last resort , bertanggungjawablah, bersyukurlah dan akhir sekali bertaubatlah!



Friday, May 28, 2010

Salam takziah buat Nurul Hafidzoh (fidz) dan keluarga

Di kesempatan ini, kami warga Alumni PISMK Pendidikan Islam OUM - KPI (2004-2009) ingin mengucapkan salam takziah kepada Nurul Hafidzoh dan keluarga atas pemergian ayahanda yang dikasihi.. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau dan ditempatkan bersama-sama mereka yang beriman.. Al-Fatihah..

Sunday, May 16, 2010

PERUTUSAN HARI GURU 2010 SEMPENA PERAYAAN HARI GURU KE-39

Oleh Y.A.B. Tan Sri Haji Muhyiddin Bin Mohd Yassin,
Menteri Pelajaran Malaysia

Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam sejahtera dan Salam 1Malaysia.

16 haribulan Mei setiap tahun merupakan Hari Guru. Seluruh negara akan menyambut dan merayakan Hari Guru sebagai tanda penghormatan dan pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan kaum guru. Justeru, marilah kita semua merafakkan setinggi-tinggi puji dan syukur ke hadrat Allah SWT kerana sekali lagi kita dapat menyambut dan merayakan ketibaan Hari Guru bagi tahun ini.

Penghormatan ini amat layak diterima oleh para guru atas kegigihan guru-guru memberikan segala tunjuk ajar serta mendidik murid-murid untuk menjadi insan cemerlang yang berilmu dan berpekerti mulia. Sesungguhnya tugas dan tanggungjawab seorang guru merupakan tugas yang amat mulia.

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan ”Selamat Menyambut dan Merayakan Hari Guru” kepada semua warga pendidik. ”Terima Kasih Cikgu” atas segala usaha dan kesungguhan yang telah diberikan dalam melaksanakan tanggungjawab dan memikul amanah rakyat. Saya amat memahami bahawa tugas mendidik merupakan suatu tugas yang berat dan mencabar. Syabas saya ucapkan kepada guru-guru atas kejayaan dalam mengharungi cabaran-cabaran ini dengan semangat dan iltizam yang tinggi dan meletakkan sistem pendidikan di negara ini ke tahap yang membanggakan.

Sejak tahun 1990, sektor pendidikan kita telah berkembang pesat dalam meningkatkan akses, ekuiti dan kualiti pendidikan. Namun begitu, kita tidak seharusnya berpuas hati dengan apa yang telah kita capai. Kita perlu melipatgandakan usaha untuk melonjakkan sistem pendidikan negara ke tahap yang setara dengan negara maju dan bertaraf dunia. Masih banyak yang perlu dimantapkan dan diperbaiki supaya sistem dan institusi pendidikan benar-benar dapat melahirkan modal insan yang cemerlang, mempunyai daya saing yang tinggi dan berwibawa.

Guru-guru dan murid-murid yang dikasihi,

Pada tahun 1991 Kerajaan membina azam untuk mencapai Wawasan 2020, untuk menjadi sebuah negara maju sepenuhnya mengikut acuan sendiri. Bagi menghadapi cabaran-cabaran yang menghalang kita daripada mencapai wawasan ini, kerajaan telahpun melancarkan Pelan Transformasi sebagai satu kerangka pelan hala tuju yang memperincikan objektif, keberhasilan dan langkah-langkah permulaan yang akan dilaksanakan. Tempoh satu dekad yang tinggal ini bukanlah satu jangka masa yang panjang. Oleh itu, kita hendaklah dengan satu tekad yang kuat untuk bersama-sama menjayakan bidang keberhasilan utama pendidikan iaitu Menigkatkan Akses kepada Pendidikan Berkualiti dan Berkemampuan. Objektif ini mampu kita capai jika kita semua memainkan peranan masing-masing dengan lebih bersungguh-sungguh dan berkesan.

Justeru, guru-guru perlu memberikan komitmen yang tinggi untuk memastikan kejayaan murid. Murid-murid pula hendaklah sentiasa memperkukuhkan disiplin dan jati diri dan menjadikan mereka golongan yang berhemah dan berpekerti mulia dan sentiasa mematuhi dan mendengar nasihat serta tunjuk ajar daripada guru-guru dan ibu bapa. Sesungguhnya peranan guru-guru, murid dan ibu bapa akan membantu melonjakkan prestasi sekolah untuk menjadi sekolah berprestasi tinggi.

Sebab itulah Kementerian telah memilih tema “Guru Pembina Negara Bangsa” dijadikan sebagai tema Hari Guru pada tahun ini. Kejayaan membangunkan sebuah negara bangsa yang teguh akan membantu kita mencapai Wawasan 2020. Nilai-nilai mulia seperti sifat saling hormat-menghormati, bertanggungjawab, penyayang, bertimbang rasa, berbudi bahasa, memiliki disiplin diri dan kesungguhan wajarlah dipupuk dan diamalkan sejak di bangku sekolah dan menjadikannya budaya hidup masyarakat.

Matlamat kerajaan untuk membina sebuah negara bangsa adalah selaras dengan gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan yang dihasratkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. Hasrat 1 Malaysia adalah gagasan untuk membina kekuatan melalui perpaduan nasional dan semangat kebersamaan. Lapan nilai-nilai aspirasi yang menjadi teras gagasan 1Malaysia iaitu budaya ilmu, integriti, ketahanan, kesetiaan, kebijaksanaan, budaya ketepatan, budaya berprestasi tinggi dan budaya inovasi merupakan nilai-nilai teras yang perlu diterapkan sebagai budaya kehidupan rakyat bagi memacu kejayaan yang lebih besar di masa hadapan. Setiap rakyat menjunjung masa hadapan yang dikongsi bersama, menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan keadilan. Tidak ada sesiapapun akan terpinggir untuk merebut peluang yang disediakan bagi menyerlahkan segala keupayaan dan potensi masing-masing.

Jika nilai-nilai ini dapat diterapkan melalui proses pendidikan yang terancang, saya yakin dan percaya perpaduan dalam kalangan rakyat akan dapat diperkukuhkan. Perpaduan merupakan aspek penting dalam pembangunan negara. Oleh itu ianya perlu diberikan perhatian yang bersungguh-sungguh oleh setiap rakyat. Kementerian Pelajaran akan terus menyokong pembinaan negara bangsa bagi memperkukuhkan perpaduan, membina identiti nasional dan semangat kebangsaan serta membangunkan sumber manusia bersesuaian dengan keperluan negara kita dalam menghadapi cabaran globalisasi. Saya menaruh penuh keyakinan dan berharap guru dapat memainkan peranan yang penting ini. Selain bertanggungjawab mengajar dan mendidik, guru turut berada di saf hadapan untuk menyemai dan memupuk perpaduan, semangat patriotisme, menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta membentuk akhlak dan jati diri murid bagi melahirkan modal insan cemerlang.

Dalam merealisasikan prinsip Rakyat Didahulukan, Pencapaian diutamakan, kita peru menyediakan akses kepada pendidikan yang berkualiti dan berkemampuan untuk membina kumpulan tenaga kerja yang berpengetahuan, inovatif, kreatif dan berdaya saing. Ini selaras dengan agenda negara melaksanakan Model Ekonomi Baru. Maka, dalam hal ini, guru-guru perlu lebih berupaya mewujudkan ciri-ciri pengajaran dan pembelajaran yang kreratif dan inovatif supaya budaya inovasi dan kreativiti dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan murid-murid.

Oleh itu, guru perlu sentiasa meningkatkan ilmu dan kemahiran yang diperlukan sebagai seorang guru untuk membolehkan ia memberikan perkhidmatan yang bermutu tinggi pada setiap masa. Ingatlah bahawa peranan kita sentiasa dinilai oleh masyarakat. Guru juga perlu memelihara akhlak dan budi pekerti supaya guru terus dihormati dan menjadi role model kepada anak didik dan masyarakat. Berkhidmatlah dengan penuh ikhlas. Teruslah berjuang membina negara bangsa kerana Malaysia amat memerlukan khidmat bakti para guru.

Kerjaaan pula akan terus berusaha untuk memartbatkan profesion keguruan. Ke arah itu, langkah-langkah penambahbaikan sistem pemilihan calon guru dan memantap program latihan asas perguruan akan dilaksanakan. Di samping itu kerajaan juga akan melaksanakan Pelan Penambahbaikan Sekolah (School Improvement Plan) dan mewujudkan beberapa insentif di bawah Sistem Tawaran Baru atau New Deal kepada kepimpinan sekolah serta guru-guru bagi meningkatkan prestasi sekolah. Kerajaan juga akan mengambil langkah-langkah bagi memperbaiki laluan kerjaya guru dengan mewujudkan peluang-peluang kenaikan pangkat yang lebih baik melalui “Faster Career Progression” atau “Fast Track”. Dari semasa ke semasa tahap persekitaran kerja diperbaiki dengan meningkatkan kemudahan dan prasarana pendidikan, khususnya di luar bandar dan pedalaman. Saya percaya, pendekatan dan usaha-usaha ini akan menjadikan profesion keguruan suatu profesion yang lebih menarik.

Kepada semua guru, sekali lagi saya ucapkan jutaan terima kasih atas segala jasa yang telah tuan/puan sumbangkan. Jasa dan pengorbanan kita akan terpahat dalam ingatan dan akan tetap dikenang sepanjang hayat.

“Selamat Menyambut Hari Guru”

Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalam mualaikum warah matullahi wabarakatuh.

Kementerian Pelajaran Malaysia
Putrajaya
10 Mei 2010

PERUTUSAN HARI GURU 2010

Oleh Tan Sri Dato' Haji Alimuddin Bin Haji Mohd Dom,
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

“GURU PEMBINA NEGARA BANGSA”

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
Tuan-tuan, puan-puan warga pendidik dan pelajar yang dikasihi sekelian.

1. Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, sekali lagi pada tarikh ini, 16 Mei 2010 kita dapat menyambut hari paling istimewa bagi para pendidik iaitu Hari Guru. Tanggal 16 Mei setiap tahun sejak 1972 disambut untuk kita semua memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada profesion keguruan selain mengenang jasa dan pengorbanan para guru dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang berjasa kepada bangsa dan negara.

2. Tahun ini, sekali lagi tema ‘Guru Pembina Negara Bangsa’ dipilih kerana ia menepati aspirasi kerajaan dalam membentuk sebuah negara yang baik dan berkesan. Kementerian Pelajaran Malaysia sentiasa berusaha untuk menyediakan sistem pendidikan yang terbaik agar setiap kita dapat mengembangkan potensi dan bakat secara optimum. Sekolah perlu menjadi acuan dan landasan yang mampu melahirkan golongan pelapis generasi muda yang bergerak seiring aspirasi negara dengan mengetepikan perbezaan yang berdasarkan kepada bangsa dan agama. Oleh itu, semua guru sebagai seorang profesional perlu merebut peluang menimba pengalaman dengan melibatkan diri dalam pelbagai langkah menyediakan diri untuk menjadi seorang pengurus dan pentadbir profesional kelas pertama.

3. Standard Guru Malaysia menetapkan tahap pencapaian kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru untuk menjamin dan mengekalkan pendidikan yang berkualiti kepada warganegara Malaysia kini dan akan datang. Para guru perlu mempunyai tahap amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi bagi membolehkan mereka berfungsi sebagai guru profesional dengan berkesan. Guru harus bijak membuat refleksi kendiri terhadap tahap pencapaian standard serta mengenal pasti keperluan pembangunan profesionalisme diri dalam usaha mencapai kecemerlangan tugas sebagai pendidik dan pembina negara bangsa.

4. Falsafah Pendidikan Guru menekankan kriteria seorang guru haruslah berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin pembangunan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin. Setiap guru juga bertanggungjawab untuk mengenal pasti dan prihatin terhadap kemajuan dan kelemahan setiap anak didik mereka supaya generasi pelapis akan mampu mengorak langkah kearah kecemerlangan diri, bangsa dan negara.

5. Warga pendidik harus menyedari bahawa selain bertanggungjawab mengajar dan mendidik, guru juga menggalas amanah yang berat kerana mereka turut berperanan menbentuk akhlak serta jati diri anak didik. Guru mempunyai kelebihan dari aspek pengetahuan ilmu psikologi kanak-kanak dan kepakaran pedagogi. Rasulullah SAW sejak awal sudah mencontohkan dalam mengimplementasikan kaedah pendidikan yang tepat di mana strategi pengajaran dan pembelajaran yang beliau lakukan memperhatikan situasi, kondisi dan karakter seseorang, sehingga nilai-nilai murni dapat di tanam dan dijelmakan dengan baik dalam diri anak didik. Saya penuh yakin dengan kewibawaan para guru di Malaysia dalam mempersiapkan diri anak didik agar menjadi insan yang cekal dan berupaya mengharungi tuntutan dan perubahan arus globalisasi.

Warga pendidik dan pelajar sekalian..

6. Matlamat dan dasar yang dihasratkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam membina Negara Bangsa adalah untuk memastikan setiap pelajar memiliki jati diri yang kukuh, patriotik, berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai moral, hidup sebagai sebuah masyarakat yang penyayang, demokratik, liberal, bertolak ansur, berfikiran dan berbudaya saintifik serta bersatu padu. Kementerian Pelajaran menyediakan pendidikan yang dapat menyemai nilai-nilai ini bermula di peringkat awal pendidikan kanak-kanak lagi.

7. Bagi merealisasikan hasrat ini agen perubahan yang utama adalah guru dan institusi pendidikan. Guru harus memainkan peranan untuk memupuk dan mengekalkan semangat perpaduan melalui aktiviti kurikulum, kokurikulum dan sukan. Peranan guru adalah memastikan generasi pewaris negara iaitu anak didik diberikan pendidikan yang tidak berbelah bagi. Aspirasi negara terhadap guru sebagai pembina negara bangsa menuntut komitmen yang tinggi daripada semua warga pendidik. Guru harus menggalas tugas berat menghasilkan seorang insan yang cemerlang dari segi ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang sains, teknologi dan ICT, berkemahiran tinggi seperti berupaya berkomunikasi dengan berkesan dalam pelbagai bahasa dan mempunyai sahsiah yang positif agar dapat menyumbang kepada kesejahteraan diri, keluarga dan negara.

8. Konsep 1Malaysia yang dipelopori oleh YAB Perdana Menteri menekankan kesejahteraan rakyat dan keberhasilan yang dapat dinikmati seperti yang terkandung dalam gagasan 1Malaysia “Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Bagi mencapai kesejahteraan, warga pendidik harus menghayati dan berkongsi bersama falsafah dan objektif ‘collegiality’ yang membawa maksud “the cooperative relationship with colleagues” (keserakanan). Kita harus faham bahawa prinsip keserakanan yang positif boleh mempercepatkan proses pencapaian kecemerlangan secara bersama. Prinsip keserakanan harus wujud dalam diri setiap pendidik supaya aspirasi negara dapat diterjemahkan dalam satu kefahaman bersama.

9. Saya dengan ini menyeru kepada semua warga pendidik supaya membulatkan tekad dan menguatkan azam untuk sama-sama bekerja bagi memartabatkan organisasi pendidikan kita. Adalah menjadi harapan saya, semua guru melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan amanah dengan semangat keserakanan bagi memartabatkan profesion keguruan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan yang diberikan kepada rakyat selaras dengan gagasan 1Malaysia yang menekankan ideologi rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Penerapan konsep 1Malaysia harus dipupuk di peringkat sekolah kerana pembentukan sahsiah dan karakter remaja adalah ketika di alam persekolahan. Sama-samalah kita berdoa agar apa yang direncana akan terlaksana mengikut rangka kerja dan perancangan.

10. Penilaian Petunjuk Prestasi (KPI) yang telah mula dilaksanakan pada tahun 2010 meliputi semua agensi kerajaan. Sistem pengukuran prestasi menggunakan KPI di sekolah adalah penting dan perlu dilaksanakan. Tuntutan terhadap sekolah dalam kecemerlangan akademik, kokurikulum, disiplin yang baik, amalan-amalan pengurusan, kepimpinan, kompetensi guru yang tinggi dan lain-lain memerlukan sekolah menggunakan strategi serta amalan yang berasaskan prestasi. Penggunaan KPI dan sasaran prestasi boleh digunakan dalam setiap aspek pengurusan sekolah di mana prestasi boleh diukur dari segi proses yang disampaikan dan output yang dihasilkan di sekolah. Sasaran prestasi perlu mengambil kira perkara-perkara seperti keupayaan proses yang meliputi aliran kerja, keperluan sumber manusia, kewangan, peralatan, infrastruktur yang sesuai serta kepuasan dan kehendak pelanggan.

11. Saya yakin sistem pengukuran KPI sebagai kayu pengukur kepada kecemerlangan perkhidmatan pendidikan akan dapat meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan untuk rakyat Malaysia. Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha untuk melahirkan guru yang berkualiti dan memastikan kualiti sistem pendidikan negara kekal dan bertaraf dunia.

Akhir kata, sempena dengan sambutan Hari Guru tahun ini, saya mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik di Malaysia dan berharap tahun 2010 ini akan membawa kecemerlangan kepada institusi pendidikan negara dengan melahirkan modal insan yang harmonis dan seimbang yang akan menjadi tonggak kekuatan negara bangsa.

TERIMA KASIH CIKGU! …“SELAMAT HARI GURU”.

Tahukah Anda?


PENGENALAN HARI GURU


Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita.

Dokumen tersebut yang dikenali sebagi Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.

LOGO HARI GURU



Putih : Menunjukkan kesucian, kesabaran, kesempurnaan dan keamanan.
Perak : Menunjukkan rakyat berbilang bangsa bersatu padu dan teguh.
Kuning: Sinaran cahaya yang cemerlang pada masa hadapan.

OBJEKTIF HARI GURU MALAYSIA

Menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.

Menarik perhatian ibubapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia.

Memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibah di antara guru.

Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.

Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar-seminar, persidangan-persidangan, dan sebagainya yang diadakan pada Hari Guru.

Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan.

IKRAR HARI GURU

Bahawasanya kami
Guru-guru negara Malaysia
Dengan ini berikrar
Mendukung terus cita-cita kami
Terhadap tugas kami
Dan menyatakan keyakinan kami
Pada cita-cita murni pekerjaan kami
Kami akan berbakti
Kepada masyarakat
Dan negara kami.

Kami sentiasa menjunjung
Perlembagaan negara
Kami mengamalkan
Prinsip-prinsip Rukun Negara
Pada setiap masa.

Saturday, May 15, 2010

Selamat Hari Guru!


Kami warga Alumni PISMK OUM-IPGM KPI Pendidikan Islam 2004-2009 ingin mengucapkan "Selamat Hari Guru" kepada semua guru-guru khususnya kepada guru-guru dan pensyarah-pensyarah di IPGM Kampus Pendidikan Islam yang pernah mendidik dan mencurahkan ilmu kepada kami. Tidak lupa kepada bekas naqib, Ustaz Zawadi bin Che Seman. Semoga kita akan terus memartabatkan profesion keguruan!

"Terima Kasih, Cikgu.."

Friday, May 14, 2010

Terima kasih cikgu!

Oleh ROHANI IBRAHIM
rencana@utusan.com.my

GURU merupakan golongan yang memainkan peranan penting dalam masyarakat sejak zaman memperjuangkan kemerdekaan.

Selepas negara mencapai kemerdekaan, peranan guru kekal penting seiring dengan pembangunan negara sehinggalah ke hari ini.

Pengiktirafan kepada golongan pendidik, dapat dilihat menerusi peruntukan besar untuk sektor pelajaran negara dalam bajet yang diumumkan pada setiap tahun.

Kerajaan sentiasa memberikan perhatian kepada kebajikan golongan guru seperti kenaikan gaji serta pangkat, isu mengajar di pedalaman dan yang terbaru penubuhan jawatankuasa untuk mengkaji beban tugas guru yang kini di peringkat akhir.

Namun, suara warga pendidik yang tidak berpuas hati masih tetap kedengaran. Rasa tidak puas hati golongan ini dapat diketahui melalui surat yang dihantar kepada ruangan Forum Utusan Malaysia atau kenyataan yang dikeluarkan kesatuan guru.

Rungutan yang sering dibangkitkan oleh golongan guru ini pernah juga ditegur oleh pihak lain supaya bersyukur dengan jawatan dan faedah yang diberikan.

Itu antara senario profesion perguruan negara, warga pendidik sering membangkitkan masalah sementara golongan ibu bapa mahukan anak-anak mereka menerima pendidikan berkualiti di sekolah.

Pada 16 Mei ini, negara menyambut Hari Guru bagi menghargai peranan golongan ini dalam pembangunan negara.

Tema bagi sambutan Hari Guru pada tahun ini ialah 'Guru Pembina Negara Bangsa.'

Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada 16 Mei 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) menerima cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran negara.

Dokumen yang dikenali sebagai Laporan Razak itu kemudiannya menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan.

Sejak 16 Mei 1972, Hari Guru disambut di seluruh negara sebagai penghormatan dan pengiktirafan kepada profesion perguruan.

Sambutan berkenaan juga bertujuan mengenang jasa dan pengorbanan para guru dalam mendidik anak-anak untuk menjadi insan yang berjasa kepada bangsa dan negara.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tugas dan tanggungjawab sebagai seorang guru merupakan satu tugas yang mulia.

''Saya mengucapkan 'Terima Kasih Cikgu' di atas segala usaha dan kesungguhan yang telah diberikan dalam melaksanakan tanggungjawab dan memikul amanah rakyat. Saya amat memahami bahawa tugas mendidik merupakan satu tugas yang berat dan mencabar.

''Jasa dan pengorbanan para guru akan terpahat dalam ingatan dan akan tetap dikenang sepanjang hayat," katanya dalam perutusan Hari Guru 2010 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran baru-baru ini.

Jelas Muhyiddin, warga pendidik tidak harus berpuas hati dengan apa yang telah dicapai tetapi perlu meningkatkan usaha untuk melonjakkan sistem pendidikan negara supaya setanding dengan negara maju dan bertaraf dunia.

''Guru-guru perlu memberikan komitmen yang tinggi dalam memastikan kejayaan murid. Selain bertanggungjawab mengajar dan mendidik, guru turut berada di saf hadapan untuk menyemai dan memupuk perpaduan, semangat patriotisme, menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta membentuk akhlak dan jatidiri murid," katanya.

Tambah beliau, guru-guru perlu berupaya mewujudkan ciri-ciri pengajaran dan pembelajaran yang kreatif dan inovatif supaya budaya inovasi dan kreativiti dapat dipupuk dalam diri murid-murid.

''Guru-guru perlu sentiasa meningkatkan ilmu dan kemahiran yang diperlukan sebagai seorang guru untuk membolehkan mereka memberikan perkhidmatan yang bermutu setiap masa. Ingatlah bahawa peranan kita sentiasa dinilai oleh masyarakat.

''Guru juga perlu memelihara akhlak dan budi pekerti supaya terus dihormati dan menjadi model kepada masyarakat. Kerajaan akan terus memartabatkan profesion keguruan melalui Pelan Penambahbaikan Sekolah dan insentif di bawah Sistem Tawaran Baru kepada kepimpinan sekolah dan guru-guru," jelas Muhyiddin.

Sementara Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom pula menyarankan supaya, golongan pendidik melakukan muhasabah diri sempena sambutan Hari Guru yang ke-39 pada tahun ini.

''Saya berharap warga pendidik dapat melihat kembali sumbangan yang diberikan kepada negara dan mengukuhkan azam untuk meningkatkan prestasi. Semangat ini perlu dimiliki oleh para guru supaya pendidikan negara mampu menjadi lebih cemerlang dalam memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju," katanya.

Alimuddin berkata demikian dalam sidang akhbar mengenai Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2010 di Kementerian Pelajaran, Putrajaya baru-baru ini.

Jelas beliau, sumbangan para guru pada hari ini adalah sangat bermakna kepada pembangunan negara tidak kiralah di mana seseorang guru itu bertugas sama ada di sekolah-sekolah bandar mahupun di kawasan pedalaman.

''Guru diperlukan di mana-mana tidak kira di pedalaman atau luar bandar. Ini kerana pendidikan adalah untuk semua pelajar di seluruh negara.

''Walau di mana pun seorang guru itu bertugas mereka perlu memberikan khidmat pendidikan yang berkualiti dan yang terbaik kepada pelajarnya," katanya.

Semoga sambutan Hari Guru pada tahun ini mampu menyuntik semangat kepada warga pendidik untuk lebih komited dalam melahirkan modal insan cemerlang dan menyemai sifat positif kepada bakal pemimpin negara tanpa mengira tempat dan cabaran yang perlu diharungi.