Friday, June 18, 2010

Semua guru disaran anggotai kesatuan

KUALA LUMPUR: Semua guru di negara ini disaran menjadi ahli kesatuan guru tempatan yang ada supaya nasib mereka dapat diadili terutama dalam kes membabitkan masalah yang tidak dapat diperjuangkan pihak lain.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Anuar Ibrahim berkata, apabila terdapat kes ‘luar biasa’, hak guru terbabit dapat diperjuangkan dan dilindungi oleh persatuan yang dianggotai.

Beliau berkata, di negara ini ada 24 kesatuan guru yang sedia berkhidmat untuk golongan guru dan mereka boleh memilih mana satu yang disukai, yang penting hak mereka terjaga.

“Jangan pula termasuk dalam golongan yang rugi apabila nasib mereka tidak dapat diperjuangkan bila berlaku masalah luar biasa seperti masih tidak menerima gaji dalam tempoh yang dijanjikan.

“Guru yang tidak berpersatuan juga tidak seharusnya tergolong dalam kumpulan yang hanya menunggu untuk menerima faedah daripada perjuangan orang lain,” katanya ketika dihubungi semalam. Anuar berkata, golongan guru perlu sedar kepentingan menjadi ahli kesatuan dan manfaat besar yang diperoleh mereka.

Katanya, ini kerana kesatuan bertindak sebagai perantara untuk guru mengutarakan sebarang masalah yang dihadapi.

“Kita sering membuat forum dengan pihak berwajib dan itu adalah platform untuk kita menyampaikan dan mencari penyelesaian bagi masalah yang dihadapi guru berkaitan pelbagai isu menyeluruh membabitkan hak guru,” katanya.

Beliau berkata, jika lebih ramai guru memasuki kesatuan, suara mereka menjadi lebih kuat dan pihak berwajib akan lebih bersedia mendengar masalah yang dibawa.

Berhubung tindakan pemotongan cukai pendapatan yang dianggap terlalu tinggi melalui pelaksanaan sistem pemotongan Pembayaran Cukai Berjadual (PCB), Anuar berkata, pihaknya akan mengambil langkah seterusnya dengan menghubungi Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

“Kita akan berjumpa dengan pihak Cuepacs dalam masa terdekat ini bagi mencari penyelesaian kepada masalah ini kerana ia juga berhubung dengan masalah membabitkan kakitangan awam,” katanya.

Difahamkan, tindakan itu yang berkuat kuasa awal tahun ini, dikatakan membelakangkan pandangan guru dan NUTP sebagai badan yang mewakili lebih 145,000 tenaga pengajar di seluruh negara.

Menurut NUTP, pihaknya hanya menyedari perkara itu melalui pekeliling yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di mana potongan yang dikenakan.

(Sumber dipetik daripada laman sesawang NUTP Online)

No comments:

Post a Comment