Saturday, July 3, 2010

Mansuh UPSR dan PMR belum muktamad

Cadangan memansuhkan UPSR dan PMR masih dalam peringkat cadangan dan keputusan muktamad mengenainya masih belum dibuat. Namun demikian sudah ramai pihak memberikan reaksi balas dalam pelbagai alasan mengenai cadangan tersebut.

Reaksi ingin mengekalkan kedua bentuk peperiksaan itu dengan alasan sebagai kayu pengukur pencapaian pelajar masih boleh dibincangkan kerana apabila peperiksaan tersebut dimansuhkan, Kementerian Pelajaran akan menggantikannya dengan sistem penilaian berasaskan sekolah.

Ada juga reaksi yang mengatakan apabila memansuhkan UPSR dan PMR akan menyebabkan potensi pelajar tidak mampu dilihat oleh banyak pihak atas alasan tiada kayu pengukur. Reaksi tersebut nampaknya masih mempertahankan pengekalan UPSR dan PMR sebagai satu-satunya kaedah yang boleh dijadikan asas mengenalpasti potensi pelajar.

Masih banyak lagi kaedah yang boleh digunakan. Jika kedua bentuk peperiksaan tersebut dimansuhkan, bermakna guru-guru mempunyai masa yang mencukupi untuk melihat potensi pelajar dan seterusnya membimbing mereka untuk membuat pilihan tepat sebaik sahaja selesai menduduki peperiksaan selepas menjalani proses persekolahan selama 11 tahun.

Dari situ pihak sekolah dapat mengesan prestasi akademik seseorang pelajar. Bagi yang cemerlang mereka boleh memilih untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma atau memasuki institut pengajian dalam bidang akademik dan aliran teknikal.

Bagi yang mencapai tahap akademik sederhana, kumpulan ini merupakan kumpulan terbesar berdasarkan keputusan peperiksaan SPM boleh memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang vokasional ataupun pusat-pusat pendidikan yang berdasarkan bakat dan kecenderungan. Mereka mungkin mempunyai bakat dalam bidang seni, sukan ataupun bidang-bidang tertentu yang boleh dikembangkan menjadi bidang kerjaya yang menguntungkan.

Sudah menjadi kelaziman ibu bapa melihat bahawa pendidikan akademik mengatasi semua aspek kerjaya maka kedudukan pendidikan vokasional menjadi pilihan terakhir. Kalau kita meneliti perkembangan yang berlaku di banyak negara, bidang pendidikan vokasional sudah menjadi sesuatu yang penting kerana ia telah menyumbang kepada sejumlah besar tenaga kerja yang diperlukan oleh industri. Cuma kerana golongan tersebut dilihat sebagai pekerja kolar biru maka banyak di antara ahli masyarakat merendah-rendahkannya walhal dari segi pendapatan, ianya lebih besar berbanding mereka yang cemerlang dalam akademik.

Sebahagian masyarakat mungkin sedar bahawa kemahiran vokasional yang ada dalam kalangan pengusaha bengkel membaiki kereta, pemasangan dan membaiki peralatan hawa dingin, pendawaian dan sebagainya telah menjadikan mereka sebagai pelengkap dalam kehidupan seharian kita. Maka adalah wajar masyarakat meyorot kembali keupayaan bidang tersebut sebagai satu bentuk kerjaya yang menarik. Anak kita mungkin mempunyai minat mengenainya, tetapi kadangkala kita telah melakukan kesilapan dengan tidak memberikan mereka peluang atas alasan bukan bidang kerjaya berprestij.

Bagi mereka yang mencapai tahap akademik yang lemah, mereka mungkin boleh mengikuti program dalam bidang kemahiran. Bidang kemahiran juga menjanjikan pendapatan yang lumayan. Adakalanya melebihi pendapatan bulanan seorang yang berpangkat pengurus di sebuah syarikat jika bidang tersebut benar-benar diceburi dalam jangka masa panjang. Seorang pereka fesyen misalnya boleh membina empayar perniagaan dan mampu menjadi jutawan atas kesungguhan dan kecekalannya menekuni bidang kemahiran rekaan fesyen.

Seorang pengusaha lanskap mampu meraih pendapatan yang tinggi kerana menggunakan kemahiran yang diperolehnya membentuk sebuah taman di rumah-rumah pelanggan dengan kreatif dan inovatif. Sebatang tunggul kayu telah dijual dengan ribuan ringgit, kerana tunggul kayu itu dilihat mempunyai nilai artistik.

Bagi mereka yang kreatif dan berkemahiran, seketul batu yang tidak mempunyai nilai bagi sesetengah orang menjadi bahan yang amat berharga. Mereka telah menyusunnya menjadi suatu bentuk hiasan yang boleh mempesonakan setiap mata memandang, malah ada pihak sanggup membelinya walaupun dengan harga yang mahal. Inilah potensi yang seharusnya perlu dilihat dan digilap dalam sistem pembelajaran sejagat yang bakal diperkenalkan melalui transformasi sistem pendidikan yang sedang dalam pelaksanaan.

Hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan yang mampu bersaing dan kebolehpasaran yang tinggi sebenarnya tidak banyak bergantung kepada kecemerlangan akademik. Ini pula tidak bermakna negara tidak memerlukan mereka yang cemerlang akademik, tetapi kecemerlangan mereka perlulah sampai ke tahap yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Mereka yang cemerlang dalam bidang akademik boleh menekuni bidang penyelidikan dan pembangunan, kerana kekuatan ekonomi sesebuah negara pada masa depan adalah berteraskan keupayaan tersebut. Lima puluh tahun lalu ramai rakyat Malaysia tidak yakin dengan barangan keluaran Korea Selatan, tetapi kerana keupayaan sistem pendidikannya menyediakan lebih banyak modal insan berkemahiran dan kesungguhan penyelidikan, produk negara tersebut sudah mampu mengatasi produk-produk dari negara pengeluar tradisi bahkan semakin menyaingi produk keluaran Jepun dan Eropah yang pernah kita banggakan di suatu ketika.

Produk Korea seperti automotif, barangan penjagaan kesihatan, peralatan elektrik bahkan program televisyen sudah menembusi banyak negara dan Malaysia tidak terkecuali. Kita kenal sejak kebelakangan ini ada jenama bagi kenderaan ialah Hyundai dan Kia; elektrik LG dan Samsung; peralatan sokongan kesihatan Ceragem dan Coway; program televisyen Winter Sonata; tayar kenderaan Roadstar dan Falken sehingga menjadikan negara tersebut di kedudukan ketujuh dunia dari segi jumlah perdagangan.

Banyak negara sudah mengamalkan hanya satu bentuk peperiksaan awam dalam sistem pendidikan mereka setelah seorang kanak-kanak menjalani tempoh persekolahan 11 atau 12 tahun. Jerman sudah lama mempraktikkanya kerana negara itu sedar keperluan pendidikan teknik dan vokasional boleh membantu menjadikannya sebagai faktor yang dapat melonjak pertumbuhan ekonomi.

Jerman memerlukan ramai pekerja mahir dan separuh mahir bagi memenuhi keperluan industri. Sweeden turut melaksanakan hal sama dan kerana itulah lebih 40 peratus pelajarnya memasuki pendidikan teknik dan vokasional, manakala dalam bidang akademik hanyalah sekitar 20 peratus. Selebihnya akan menekuni bidang-bidang kemahiran yang tidak banyak memerlukan kecekapan akademik.

Seperti kata Menteri Pelajaran, reaksi dan pendapat yang dikemukakan akan dikaji dengan teliti sebelum memuktamadkan cadangan tersebut. Masyarakat boleh mengemukakan cadangan, pendapat dan reaksi kerana transformasi sistem pendidikan itu memerlukan sokongan ramai bagi membolehkannya mencapai matlamat.

Persidangan meja bulat membincangkan maklumbalas mengenai cadangan tersebut dijangka akan diadakan dalam masa terdekat. Dan, tentunya rumusannya nanti bakal memuktamadkan keputusan sama ada UPSR dan PMR dimansuhkan, ataupun sebaliknya.

(Sumber dipetik daripada Blog Kementerian Pelajaran Malaysia bertarikh 30 Jun 2010)

2 comments:

  1. wajar x wajar?entahla..renung2kan..

    ReplyDelete
  2. ~salam wb~

    cdgn pemansuhan ni ada pro and kontranya.

    Yang bagusnya isu ni membuka minda kita yang sebenarnya kita dalam kesempitan untuk melahirkan individu yang boleh berdikari..kerana UPSR dan PMR atau exam lain sebanarnya mewujudkan sindrom 'exam oriented' kpd pljr.. jadi kalau upsr dan pmr mansuh, akan ada kaedah penilaian lain yang mungkin lebih baik untuk mnilai secara menyeluruh.. dan pembeljaran murid sekolah selama 12 tahun di sek ren tidak hanya tertumpu pada UPSR .. em, ini membolehkan guru menilai murid dari aspek lain juga..maknanya takdela keciciran lah..

    ~kalau nak buat perubahan, mesti berani lah terima apa yang mendatang kan.. tengoklah macamna nanti...

    ~moga2 great murabbi akan GREAT selalu!insyaAllah...

    ReplyDelete