Wednesday, October 7, 2009

Isu posting... Berjaga-jaga...

Dikejutkan dengan berita tentang posting awal PISMK pada tahun ini rupa-rupanya merebak pada institusi pendidikan lain.. Kembar kita di seberang sana iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sedang hangat memperkatakan tentang isu sama ada posting pada tahun hadapan akan dibekukan. Sebaliknya kita di IPIS masih lagi bertelingkah tentang perkara-perkara remeh temeh seolah-olah masih berada di sekolah lagi. Alasan-alasan merundumnya ekonomi negara yang diberi menyebabkan kita bakal-bakal guru hanya menunggu keputusan daripada kerajaan tanpa boleh melakukan apa-apa tindakan. Risau juga kalau nasib kita sama dengan saudara dan saudari di UPSI sana. Berbaloikah 5 tahun kita di sini? Beberapa kenyataan yang diambil dari laman web http://www.upsikini.blogspot.com/ akan kita kongsikan bersama supaya kita sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga. Jangan hanya bersandar dengan senang lenang sahaja di sini tanpa mengetahui apa yang berlaku di luar sana.

Cuma lewat bukan beku, TNC A&A sahkan kenyataan masalah ‘posting’

Tanjong Malim, 6 Oktober – “Bukan beku cuma dilewatkan.”Berikut kenyataan spontan Prof Dr. Zakaria Kasa, Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa UPSI ketika menjelaskan perkara tersebut kepada Nur Aqilah Hanis, Exco Akademik & Kerjaya MPP yang menemui beliau awal pagi semalam.

Menurut Zakaria, apa yang diucapkannya dalam acara perasmian 'Simposium Halatuju Pendidikan Fizik Di Malaysia' tempoh hari merupakan kenyataan yang harus diterima semua pihak terutama di pihak pelajar kerana ia bukan sahaja melibatkan UPSI malah seluruh institusi yang menawarkan program pendidikan.

Dalam pada itu katanya, punca utama keadaan ini berlaku adalah disebabkan kelembapan ekonomi negara dan masalah kewangan yang dihadapi dalam pentadbiran Kerajaan Malaysia.

Ketika ditanya adakah isu lambakan guru menyumbang kepada tindakan tersebut, beliau berkata masalah utama adalah kewangan namun di pihak Institut Perguruan (IPG) yang ditadbir di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) juga dilaporkan akan mengeluarkan graduan pertama Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dan sedikit sebanyak menambah bilangan bakal guru.

Sementara itu, pihak KPM sememangnya akan memberi keutamaan kepada pemegang Biasiswa KPM untuk ditempatkan ke sekolah-sekolah selepas tamat pengajian.

DPLI tak terkecuali


Pelajar-pelajar Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) juga dikatakan tidak terlepas daripada isu lewat ‘posting’ seperti yang dihadapi bakal graduan lain di semua IPTA dan IPG tahun depan.

Dalam penjelasan Zakaria dalam perbincangan bersama Nur Aqilah Hanis, Exco Akademik & Kerjaya MPP, pelajar-pelajar DPLI juga bakal menghadapi situasi yang sama dengan bakal graduan lain dalam isu ‘posting’ ini.

Jelasnya, DPLI juga berkemungkinan lewat ditempatkan ke sekolah-sekolah selepas mereka menamatkan pengajian mereka tahun hadapan, tidak seperti pelajar DPLI sebelum-sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan kepada semua warga UPSI agar tidak meletakkan kesalahan atau punca masalah ini kepada pelajar DPLI kerana program ini merupakan program di bawah KPM dan pelajar DPLI yang terpilih hanyalah individu yang mengisi pelaksanaan program tersebut bagi menjayakannya.

Ditanya apakah akan ada lagi pengambilan DPLI selepas ini, beliau berkata tidak ada lagi pengambilan DPLI selepas ini, pengambilan ini adalah yang terakhir.

Pelajar UPSI perlu bersedia dan terima hakikat


Zakaria juga dalam penjelasannya meminta agar semua pelajar UPSI bersiap sedia dengan makluman awal ini dan harus menerima hakikat bahawa keadaan seperti ini pasti akan berlaku dan secara kebetulan masalah tersebut timbul pada ketika ini.

Namun katanya, ini bukanlah bermakna palajar langsung tidak berpeluang untuk menjadi guru, cuma pelajar perlu mempelbagaikan kemahiran supaya peluang untuk masa depan juga akan lebih luas.

No comments:

Post a Comment