Pepatah Melayu ada menyebut - "Tak kenal maka tak Cinta". Ungkapan ini, antara lain membawa maksud, jika kita tidak kenal dengan seseorang bagaimana mungkin kita dapat menzahirkan perasaan cinta terhadapnya. Tidak pernah wujud orang yang bercinta dengan seseorang yang tidak pernah diketahui atau dikenalinya terlebih dahulu.
Tidak hairanlah di dalam Islam, perkara pertama yang perlu dititikberatkan sebagai Muslim ialah mengenal Allah atau di dalam Bahasa Arabnya berbunyi -Awwaluddin Ma'rifatullah. Sebab itulah, jika dilihat kepada ayat-ayat Al-Quran yang terawal diturunkan atau yang juga dipanggil Ayat Makkiyyah (yang diturunkan di Makkah), kebanyakannya menceritakan tentang kebesaran Allah atau aspek-aspek berkaitan akidah yakni keesaan Allah.
Ini kerana pada ketika itu, masyarakat jahiliyyah masih menyembah berhala dan mengamalkan pelbagai amalan khurafat yang lain. Ayat-ayat yang kebanyakannya dimulakan dengan ungkapan 'Ya Ayyhuhannas' ini bertujuan untuk membersihkan jiwa manusia daripada unsur syirik dan khurafat tersebut.
Hanya setelah unsur-unsur jahiliyyah dan syirik tersebut dinyahkan, barulah prinsip-prinsip serta syariat Islam yang lain dapat diterapkan ke dalam diri seorang Muslim.
Jika dilihat pada ayat-ayat Makkiyyahtersebut, tidak dinyatakan tentang persoalan Ibadat seperti Solat, Zakat, Haji dan sebagainya. Ini kerana, persoalan Ibadat yang merupakan manifestasi cinta seseorang hamba kepada tuhannya hanya akan datang apabila seseorang itu telah mengenal tuhannya atau dalam kata lain - telah jelas dari sudut akidahnya.
Kenal Allah, Baru Ibadat
Jika teori ini diambil kira, maka pendekatan dalam berdakwah kepada Non-Muslim kita pada hari ini tidak sepatutnya didahulukan dengan perkara Ibadat. Bagaimana mungkin kita ingin menyuruh Non-Muslim melakukan ibadah jika mereka terlebih dahulu belum mengenal Allah. Bila mereka sudah kenal Allah, barulah beransur-ansur akan datang perasaan ingin menunjukkan rasa kasih dan cinta kepadaNya iaitulah melalui amal ibadah yang telah disyariatkan.
Begitulah juga cinta kita kepada Rasululluah SAW. Bagaimanakah agaknya cara untu menzahirkan perasaan cinta kepada baginda? Sudah tentulah persoalan tersebut hanya dapat dirungkaikan dengan kita terlebih dahulu mengenal Rasulullah SAW.
Mengenal Rasulullah SAW, antara lain bermaksud kita tahu apa yang baginda suka dan apa yang baginda benci atau apa yang baginda suruh dan apa yang baginda larang. Jika kita enggan membuat perkara yang baginda suka atau masih membuat perkara yang baginda larang, maka kita masih belum cukup kenal, jauh sekali untuk bercinta dengan baginda.
Suami Isteri
Sebagaimana kedaannya sepasang suami isteri yang saling mencintai antara satu sama lain. Si suami akan berusaha membuat apa yang disukai dan meninggalkan apa yang dibenci isterinya sebagai tanda dan bukti cinta yang tidak berbelah bahagi kepada isterinya. Namun, jika si isteri melihat si suami sudah tidak lagi membuat perkara yang disukainya atau membuat perkara yang dibencinya, maka ia seolah menunjukkan cinta dan sayang si suami tadi sudah semakin pudar.
Maka, begitulah juga halnya dengan cinta kita kepada Rasulullah SAW. Tidak sempurna cinta kita kepada baginda jika kita tidak melaksanakan arahan serta mengamalkan sunnah baginda di dalam kehidupan seharian.
Memperlekeh & Membenci??
Bagaimanakah kita ingin mengatakan kita cintakan Rasulullah jika kitalah orang pertama yang memperlekehkan dakwah baginda? Bagaimanakah kita ingin katakan yang kita amat menyintai baginda jikalau kitalah orang yang paling bencikan sunnah dan ajaran baginda?
Jika Rasulullah tidak pernah melebihkan kaum Arab ke atas kaum yang lain - kerana setiap anak adam itu sama sahaja di sisi Allah melainkan yang bertaqwa, kita pula membeza-bezakan darjat sesama manusia hanya kerana bangsa dan warna kulit.
Jika Rasullullah SAW menjadikan dakwah Islamiah sebagai agenda hidup-mati baginda, kita pula hanya menjadikannya kerja-kerja part-time yang bersifat bermusim malah mengharapkan balasan duniawi di sebalik kerja-kerja tersebut. Jika baginda sanggup menghukum anakanda baginda Fatimah sekiranya beliau mencuri, kita pula lebih suka menyebelahi anak kita meskipun anak kita melakukan kesilapan.
Malah, jika kita seorang yang berpengaruh, kita akan cuba sedaya upaya menggunakan pengaruh dan kuasa untuk memastikan anak kita yang bersalah itu dilindungi atau tidak dihukum. Jika Rasulullah menyuruh kita menjaga batasan pergaulan dan menutup aurat, kitalah orang yang paling gemar mendedahkan aurat dan bergaul bebas tanpa batasan.
Jika Rasulullah menyuruh kita berlaku adil - iaitu memberikan hak kepada mereka yang berhak, kita pula hanya memberikan hak kepada orang yang kita sayangi, yang kita kenali, yang mempunyai persamaan dengan kita, meskipun kekadang mereka tidak berhak! Jika Rasulullah mewasiatkan kita untuk berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan hidup, kita kadangkala tidak ambil pusing akan apa yang terkandung di dalam kedua-duanya.
Jika Rasulullah menyuruh kita bercakap benar, kitalah orang yang paling suka membuat spekulasi palsu untuk kepentingan diri. Jika Rasululllah menganjurkan agar kita takutkan kemurkaan Allah lebih dari segala-galanya di atas muka bumi ini, kita pula lebih takutkan sesama manusia, lebih-lebih lagi jika ia berkait dengan periuk nasi kita.
Jika Rasulullah menyuruh kita mengasihi orang lain sebagaimana kita mengasihi diri kita, kita pula hanya mementingkan diri sendiri. Jika Rasulullah menyuruh kita menunaikan amanah yang telah dimanahkan - lebih-lebih lagi jika ia berkait dengan kepentingan umum, kitalah orang yang paling gemar mengkhianati amanah tersebut.
Berarak Sahaja Tidak Cukup
Nah, jika kita masih melakukan apa yang Rasulullah tidak suka, bagaimana mungkin kita katakan kita sudah cukup kasih akan baginda! Sesungguhnya, kasihkan baginda tidak memadai dengan hanya berarak dan berselawat memuji baginda, tetapi juga menginsafi falsafah diutuskan baginda kepada kita semua - iaitu tidak lain dan tidak bukan sebagai rahmat sekalian alam.
Moga-moga belum terlewat untuk kita kembali 'menghargai' rahmat yang didatangkan kepada kita melalui pengutusan baginda Rasulullah SAW. Mudah-mudahan dengan cinta dan kasih kita yang tidak berbelah bahagi ini, kita akan beroleh syafaat baginda di akhirat kelak seterusnya sama-sama menghuni syurga Allah bersama-sama baginda, para anbiya', solihin dan pejuang-pejuang agama suci ini.
Salam Maulidurrasul - 12 Rabi'ul Awwal 1432 Hijriyyah.
No comments:
Post a Comment