Thursday, February 17, 2011

Jangan Lengah

Makin Lewat Saman Dibayar Lebih Tinggi Kompaun Dikenakan Terhadap Pesalah Lalu Lintas

Oleh: Magendran Rajagopal
magendran@bharian.com.my
17/02/2011

pix_gal0

PUTRAJAYA: Makin lewat dibayar lebih tinggi kompaun akan dikenakan terhadap pesalah lalu lintas mengikut penyelarasan kadar kompaun dan penyusunan semula kategori kesalahan lalu lintas berkuat kuasa 1 Mac ini.

Kadar kompaun baru itu akan dikenakan kepada empat kategori kesalahan berbanding tiga kategori sebelum ini dengan kompaun minimum RM40 dan maksimum RM300.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata kadar kompaun baru itu ditetapkan mengikut kelas kenderaan; tahap keseriusan dan jenis kesalahan.

Penyelarasan dan penyusunan semula kompaun yang dikeluarkan polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dipersetujui Kabinet semalam mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2010).

Sistem baru itu turut menawarkan pengurangan kadar kompaun lebih tinggi jika pesalah lalu lintas melunaskan bayaran lebih cepat iaitu dalam tempoh 15 hari pertama, 15 hari kedua dan 30 hari berikutnya kecuali bagi kesalahan serius dalam kategori pertama.

“Saman lalu lintas yang tidak dibayar selepas hari ke-60 akan terus didaftarkan sebagai kes mahkamah dan hukuman akan dijatuhkan mahkamah mengikut akta berkenaan," katanya pada sidang media selepas majlis sambutan Tahun Baru Cina peringkat kementeriannya, di sini semalam.

Cho Ha berkata, mengikut kategori pertama, kenderaan dibahagikan kepada dua kelas iaitu kelas pertama motosikal 250cc ke bawah dan kelas kedua membabitkan semua jenis kenderaan lain.

"Kategori kedua, kadar kompaun mengikut tahap serius sesuatu kesalahan dan jenis kesalahan manakala kategori ketiga menetapkan nilai kompaun mengikut prinsip 'the more you delay, the more you pay'.

Kategori keempat ialah kompaun berganda terhadap pemandu yang melakukan kesalahan berulang, termasuk kesalahan kategori pertama, kedua dan ketiga atau gandingan mana-mana kesalahan dalam kategori itu sebanyak tiga kali atau lebih dalam tempoh dua bulan daripada tarikh melakukan kesalahan pertama," katanya.

Tiga kategori kompaun yang dikenakan sekarang, ialah pertama, membabitkan kesalahan secara langsung yang boleh menyebabkan kemalangan, menjejas kepentingan awam dan kepentingan penguatkuasaan, kompaun antara RM200 hingga RM300.

Kategori kedua, bagi kesalahan secara tidak langsung menyebabkan kemalangan, menjejaskan kepentingan awam dan kepentingan penguatkuasaan kompaun dikenakan antara RM150 hingga RM200 manakala kategori ketiga membabitkan kesalahan selain kategori pertama dan kedua dikenakan kompaun antara RM100 hingga RM150.

Mengenai hubungan sistem KEJARA dan penggantungan lesen memandu, Cho Ha berkata, mereka yang melunaskan kompaun dalam tempoh tiga bulan selepas dikeluarkan tidak akan diberikan mata demerit.

Pada masa ini, pemegang lesen memandu percubaan (PDL) yang menerima 10 markah demerit KEJARA akan dikenakan tindakan digantung lesen manakala tindakan sama dikenakan terhadap pemilik lesen memandu kompeten (CDL) yang mengumpul 15 markah demerit apabila melakukan kesalahan tertentu.

Jika markah habis ditolak kali pertama, lesen akan digantung sebulan, kali kedua tiga bulan, kali ketiga enam bulan dan selepas kali ketiga lesen akan digantung terus.

Katanya, majoriti pesalah enggan menjelaskan bayaran kompaun pada masa sekarang adalah kerana khuatir dikenakan mata demerit dan kemungkinan lesen memandu digantung atau dibatalkan.

"Kadar maksimum kompaun dikekalkan RM300 bagi kesalahan yang menyumbang kepada kadar kemalangan, kesesakan lalu lintas dan kesalahan berkaitan perkhidmatan teksi manakala bagi kategori lain, kadar kompaun adalah berdasarkan tempoh pembayaran dan mengikut tahap serius sesuatu kesalahan.

"Kesalahan serius adalah yang menyumbang kepada kadar kemalangan dan kematian yang tinggi seperti memandu melebihi had laju, memandu terlalu hampir dengan kenderaan di hadapan, melanggar lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, memandu di lorong kecemasan dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

"Ini ditakrif pihak polis dan JPJ sebagai kesalahan serius yang perlu dikenakan kompaun lebih tinggi iaitu maksimum RM300, berbanding kesalahan lain," katanya.

Sumber: Berita Harian Online | Jangan lengah

No comments:

Post a Comment