Sunday, April 11, 2010

Guru lepasan KPLI dikurang

Oleh Haika Khazi (dipetik dari laman sesawang NUTP Online)

CYBERJAYA: Kerajaan bercadang mengurangkan pengambilan guru siswazah menerusi Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) selepas Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara mula mengeluarkan tenaga pengajar berkelulusan ijazah pada 2011.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata ia sejajar keputusan Dewan Rakyat kelmarin meluluskan Akta Pendidikan 1996 (pindaan 2008) yang membenarkan IPG menyediakan kursus perguruan peringkat ijazah.

Beliau berkata, pengambilan guru siswazah menerusi KPLI adalah sementara dan berdasarkan keperluan atau kekosongan jawatan.
"Ketika ini, IPG hanya boleh mengeluarkan guru lepasan diploma dan sijil. Bagaimanapun, selepas Akta Pendidikan 1996 diluluskan, ia boleh melahirkan lebih ramai guru siswazah dalam tempoh tiga tahun lagi. Berikutan itu, kita perlu mengurangkan pengambilan guru program KPLI secara berperingkat pada masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail merasmikan Konvensyen Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di Sekolah Seri Puteri, di sini semalam. Hadir sama, Pengarah Bahagian Pengurusan SBP dan Sekolah Kluster kementerian itu, Datin Dr Siti Zaleha Abdullah Sani.

Mengulas lanjut, Alimuddin berkata, kementerian tidak berhasrat memansuhkan sepenuhnya program KPLI kerana ia masih diperlukan bagi menampung kekurangan guru disebabkan bersara, dinaikkan pangkat atau pembukaan sekolah baru.

Sementara itu, Alimuddin berkata, pihaknya sedia mengkaji semula pemberian insentif dan syarat kenaikan pangkat guru bukan siswazah gred DG44 ke DG48, selepas menerima permohonan rasmi Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).

No comments:

Post a Comment