Friday, April 30, 2010

Lagi respons terhadap 'Pensyarah Penat'


Dipetik dari ARKIB Utusan Malaysia Online bertarikh: 29/04/2010

Aduhai pensyarah penat...

SAYA ingin menarik perhatian Pensyarah Penat dari Kota Bharu pada Isnin 26 April 2010 yang mengatakan kerjaya pendidik tidak sama seperti kerjaya lain.

Saya sama sekali menyangkal kenyataan Pensyarah Penat tersebut. Sebab pernahkah beliau bekerja dan mempunyai pengalaman terhadap kerjaya lain? Bagaimana dengan mereka yang bekerja selama 12 jam di kilang-kilang dan bekerja di bawah panas terik di ladang, kebun atau pekerja kontrak membuat jalan?

Apa sangatlah yang mahu dirungutkan oleh Pensyarah Penat yang bekerja di dalam bangunan yang sejuk berhawa dingin dengan gaji yang setimpal. Biasalah kerja lebih masa di mana-mana jabatan pun.

Pensyarah Penat mempertikaikan selain mengajar, mereka terpaksa menyemak tugasan pelajar dan lain-lain lagi. Tidakkah itu termasuk bidang tugas mereka, mengapa harus dipertikai? Biasalah kalau mahu balik awal tapi kerja tidak dapat disiapkan, bawalah balik rumah atau sambung sahaja keesokkannya.

Mungkin Pensyarah Penat ini seorang yang tidak rajin atau jenis yang suka bertangguh dan membuat kerja pada minit terakhir. Saya syorkan Pensyarah Penat mengikuti kursus pengurusan masa kerana banyak lagi jabatan lain yang lebih sibuk dari kerjaya Pensyarah tapi mereka tidak merungut dan mengeluh di akhbar dengan harapan agar satu negara tahu mereka paling teruk bekerja. Janganlah memalukan pensyarah-pensyarah lain.

Janganlah kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Pensyarah Penat tidak perlulah membohongi satu Malaysia dengan bebanan tugas yang kononnya teramat teruk sangat kerana abang saya juga seorang pensyarah di IPG dan saya tahu kerjaya mereka tidaklah teruk sangat.

Mereka masih mempunyai masa terluang kerana bukan sepanjang masa perlu masuk ke kelas, hanya waktu-waktu tertentu sahaja ditambah pula dengan mengajar murid-murid dewasa. Bahan power point pula tidak perlu dicari setiap hari, hanya guna yang sama setiap tahun, cuma hanya perlu ditokok-tambah sedikit untuk bahan terkini.

Fikirkanlah nasib mereka yang bekerja di penjara, pusat serenti di mana mereka berdepan dengan banduan, penagih dadah ditambah pula dengan yang mempunyai pelbagai penyakit seperti TB, HIV dan pelbagai lagi risiko penyakit dan ancaman keselamatan serta rusuhan yang tidak terjangka sedangkan tiada langsung elaun kritikal diberikan, hanya berserah pada Tuhan diiringi doa dan tawakal.

YANG TENAT MENDENGAR

Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment