KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan kerajaan menyusun semula dasar latihan dalam perkhidmatan (LADAP) agar ia tidak memberi tekanan kepada guru dan mengabaikan masa mengajar mereka.
Presiden NUTP Hashim Adnan berkata dasar LADAP selama tujuh hari atau 42 jam kredit yang perlu disempurnakan setiap guru sekarang boleh memberi tekanan hebat kepada guru apabila berdepan dengan kesuntukan masa dan tenaga untuk mengajar.
"Kita bersetuju, LADAP tujuh hari tersebut kerana ia bertujuan untuk membangunkan modal insan berkualiti dan meningkatkan produktiviti, namun di peringkat pelaksanaan, guru-guru menghadapi masalah dan tekanan sehingga mengabaikan masa mengajar mereka, " katanya dalam sidang media di pejabat NUTP di sini, Isnin.
Ekoran itu NUTP mencadangkan agar kerajaan mengambil kira kursus yang telah dihadiri oleh para guru sama ada yang dianjurkan Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) atau Badan Bukan Kerajaan (NGO) supaya diserapkan atau dikira sebagai LADAP, katanya.
"Ini bermaksud guru yang telah menghadiri kursus, seminar ini tidak perlu lagi menghadiri LADAP. Jika dia telah pergi kursus selama tiga hari maka dia hanya tinggal empat hari saja untuk LADAP. Bukan apa, banyak masa guru lebih banyak dihabiskan menghadiri kursus dan program luar daripada pengajaran dan pembelajaran di sekolah," katanya.
"Yang paling penting apabila guru tidak puas mengajar, sepanjang tahun sepatutnya tugas mereka mengajar tapi sebaliknya terpaksa membuat tugas-tugas pengkeranian, menghadiri kursus di sekolah dan di luar, sudah pasti yang rugi ialah pelajar-pelajar sekalian, kita mahu kelas dunia, kualiti, mahu standard yang tinggi terhadap pelajar.
Tetapi malangnya guru tidak ada dalam kelas, salah siapa....," katanya.
Hashim berkata memandangkan LADAP diadakan pada hari Sabtu serta ditambah dengan aktiviti ko-kurikulum yang wajib dihadiri guru ke sekolah pada setiap dua kali Sabtu, ia menyebabkan guru-guru terpaksa bekerja selama enam hari seminggu.
"Ini bermakna guru-guru kini bekerja selama enam hari setiap minggu manakala kakitangan kerajaan lain hanya bekerja lima hari seminggu, suami kepada guru wanita banyak membuat aduan mengenai isteri yang tiada masa bersama keluarga, " katanya.
LADAP diperkenalkan pada 1 Jan 2005 untuk membangunkan sumber manusia sejajar dengan kehendak yang terkandung dalam dasar wawasan negara untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju dan cemerlang menjelang tahun 2020. NUTP turut meminta Kementerian Pelajaran untuk memberi kelonggaran syarat agar kumpulan guru Pendidikan Jarak Jauh Universiti Terbuka Malaysia (PJJ/OUM) yang ditawarkan lantikan pada 2 Jan 2004 diberi peluang memohon urusan pemangkuan kenaikan pangkat daripada DG 41 ke DG 44 bagi tahun 2009/2010.
(Sumber dipetik dari BERNAMA dan NUTP Online)
No comments:
Post a Comment