Sunday, April 11, 2010

NUTP dedah punca Selangor kurang guru

KUALA LUMPUR 29 Mac - Krisis kekurangan guru di Selangor berpunca daripada kegagalan Jabatan Pelajaran Selangor (JPS) membuat unjuran penambahan jumlah murid secara tepat dengan jumlah guru yang diperlukan.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng berkata, keadaan itu tidak harus berlaku kerana kerja-kerja tersebut dibuat secara rutin setiap tahun.

Ujarnya, situasi itu diburukkan lagi dengan kegagalan pihak Kementerian Pelajaran menguruskan penempatan bakal guru yang sepatutnya boleh digunakan berkhidmat di negeri tersebut.

“Sebagai contoh NUTP telah dimaklumkan bahawa terdapat 80 bekas graduan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) yang telah ditemuduga tetapi sehingga sekarang masih belum dipanggil untuk berkhidmat.

“Mereka ini telah menjalani temuduga pada bulan Oktober tahun lepas dan saya percaya jumlahnya adalah jauh lebih besar,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kedudukan terkini krisis kekurangan guru di Selangor yang berlaku sejak bermulanya sesi persekolahan tahun ini.

Krisis yang berlaku di sebahagian besar sekolah rendah di negeri itu telah menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran.

Ketika mengesahkan perkara tersebut Yim Pheng berkata pihaknya menerima maklumat bahawa sekolah-sekolah di Petaling Perdana contohnya, mengalami kekurangan 187 guru.

Penempatan graduan

Yim Pheng berkata, menyegerakan penempatan graduan UPSI dan fakulti pendidikan universiti-universiti tempatan adalah antara jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah itu.

“Saya percaya jika semua pihak melakukan tugas dengan berkesan termasuk usaha ini (menempatkan bakal guru) masalah tersebut bukan sahaja dapat kita atasi malah ia pasti dapat dielakkan pada masa akan datang,” katanya lagi.

Beliau berkata, NUTP turut meminta kementerian memberi pertimbangan sewajarnya terhadap permohonan guru yang mahu berpindah ke Selangor.

“NUTP mendapat tahu ada guru yang kini berkhidmat di negeri lain mahu berpindah ke Selangor. Malangnya permohonan mereka ditolak atas sebab-sebab tertentu.

“Kesatuan amat berharap pihak Kementerian memberi pertimbangan yang sewajarnya dalam perkara ini. Ini juga adalah salah satu jalan penyelesaian selain membenarkan pengambilan guru sandaran tidak terlatih (GSTT),” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, semua Jabatan Pelajaran negeri perlu memastikan ketepatan unjuran jumlah murid dengan guru sebelum bermulanya sesi persekolahan supaya isu sama tidak berulang pada masa akan datang.

“Apa yang berlaku di Selangor ini harus menjadi pengajaran kepada kita semua kerana yang menjadi mangsa akhirnya ialah murid-murid kita,” tambahnya.

(Sumber dipetik daripada akhbar Utusan Malaysia bertarikh 30.3.2008)

No comments:

Post a Comment