Monday, December 19, 2011
Cuti Peristiwa dan Cuti Berganti 2012
http://www.moe.gov.my/userfiles/file/PENGGAL%20PERSEKOLAHAN%20TAHUN%202012_Cuti%20Ganti%20dan%20Peristiwa.pdf
Sistem Saraan Baru Perkhidmatan (SBPA)
www.moe.gov.my/sbpa/
Friday, August 5, 2011
Ramadhan & Batalkah Puasa Kita Jika...
Wednesday, May 18, 2011
4 Anugerah Tokoh Guru 2011
MUHYIDDIN bersama Abdul Taib, Abd Ghafar bergambar bersama tokoh guru dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2011 selepas merasmikan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-40 di Kuching, semalam.
KUCHING: Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Matnor Daim, 68, dipilih Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan sempena sambutan Hari Guru 2011 peringkat kebangsaan ke-40, di sini, semalam.
Empat penerima Anugerah Tokoh Guru 2011 pula ialah bekas Dekan Fakulti Pendidikan, Universiti Industri Selangor (Unisel), Prof Datuk Dr Ab Rahim Selamat, 66, dari Melaka; Datuk Siva Subramaniam, 64, dari Perak; Hamedah Wok Awang, 63, dari Pahang dan Datuk Rita Jaafar, 62, dari Sabah.
Mereka menerima wang tunai RM10,000, pingat emas, plak dan sijil penghargaan disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran pada majlis dihadiri lebih 4,000 pengetua, guru dan pegawai perkhidmatan pendidikan di Pusat Konvesyen Borneo Kuching, di sini.
Turut hadir, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong dan Dr Mohd Puad Zakarshi; Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Dr Rosli Mohamad dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud.
Matnor yang pernah bertugas sebagai Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lutong, Miri menyifatkan anugerah yang diterima itu adalah mewakili jasa dan pengorbanan warga pendidik di seluruh negara.
"Saya terima anugerah ini dengan penuh rendah hati kerana ia adalah berkat sokongan semua insan yang bergelar guru. Anugerah ini besar maknanya bukan hanya kepada saya, tetapi kepada profesion perguruan itu sendiri kerana ia akan lebih memberi semangat kepada guru muda untuk memberikan khidmat terbaik kepada anak bangsa," katanya.
Sementara itu, Ab Rahim yang juga bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki (IAB), menyifatkan anugerah diterimanya adalah di luar jangkaan kerana sebagai bekas warga pendidikan, beliau tidak pernah mengharapkan penghargaan.
"Anugerah ini adalah satu penghargaan yang jujur daripada komuniti pendidikan dan saya amat menghargainya.
"Bagi warga pendidik muda pada hari ini, saya nasihatkan supaya berkhidmatlah dengan sejujurnya tanpa mengharapkan penghargaan kerana mulia seseorang individu itu bukan kerana anugerah, tetapi kerana jasa dan bakti yang dilakukannya," katanya.
Rita yang juga bekas Pengetua Institut Perguruan Gaya, Kota Kinabalu, Sabah, berpendapat beliau terlalu kecil untuk menerima anugerah yang begitu besar pengiktirafannya kepada warga pendidik.
"Kalau dibandingkan anugerah ini dengan apa yang sudah dicurahkan sepanjang bergelar pendidik, memang ia adalah satu penghargaan yang tidak ternilai. Saya cuma menjalankan tugas sebagai guru dengan ikhlas untuk melihat anak murid berjaya dalam pelajaran dan kehidupan mereka," katanya.
Sumber dipetik daripada Berita Harian Online bertarikh 17 Mei 2011
Berita baik untuk guru: Kaedah baru kenaikan pangkat
KUCHING 16 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kaedah baru kenaikan pangkat khusus kepada guru dengan mengkategorikan mereka mengikut empat lapisan jawatan iaitu Guru Biasa, Guru Kanan, Guru Wibawa dan Pendeta Guru.
Katanya, empat lapisan jawatan itu akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan.
"Melalui konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru ini, laluan kerjaya guru dalam bidang pengajaran dan pembelajaran akan diperluaskan sehingga mencapai ke Gred 54 dalam tempoh perkhidmatan 25 tahun dengan memenuhi tahap kecemerlangan serta syarat-syarat lain yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan," katanya dalam rakaman video yang ditayangkan pada sambutan Hari Guru Kebangsaan, di sini hari ini.
Perdana Menteri mengumumkan, semua guru yang menunjukkan kecemerlangan terkemuka mutunya seperti ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara.
Katanya lagi, bagi guru-guru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas, mereka masih berpeluang menikmati pergerakan gaji tahunan.
"Untuk ini, kerajaan bersetuju menambahkan lagi jawatan Gred Khas C bagi laluan pengajaran dan pembelajaran sebanyak 100 peratus dengan menambah sebanyak 72 jawatan berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru," katanya.
Najib juga mengumumkan, kerajaan bersetuju menaikkan gred jawatan semua pengetua sekolah menengah Gred DG48 ke Gred DG52 yang melibatkan 1,228 jawatan.
Katanya, semua guru penolong kanan (GPK) pentadbiran, hal ehwal akademik dan kokurikulum sekolah menengah Gred DG44 dinaikkan ke Gred DG48 dan ini melibatkan 6,585 jawatan.
"Seterusnya, semua GPK pentadbiran, hal ehwal akademik dan kokurikulum di sekolah rendah kluster dinaikkan dari Gred DGA32 ke Gred DGA34 yang melibatkan 99 jawatan," katanya. -
Sumber dipetik daripada Utusan Online bertarikh 16 Mei 2011
Monday, May 16, 2011
Tuesday, May 10, 2011
Selamat Menyambut Hari Guru 2011
The mediocre teacher tells.
The good teacher explains.
The superior teacher demonstrates.
The great teacher inspires.
Monday, May 9, 2011
Friday, May 6, 2011
Selamat Menyambut Hari Guru 2011
(Lagu & Lirik : Rosman Adam)
Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara
Bersatu Kita Menuju Paradigma Yang Baharu
Satu Tekad Dan Harapan Menyahut Cabaran Dunia
Pendidik Berkualiti Demi Mencapai Visi
Dengan Azam Yang Murni Membentuk Akhlak Terpuji
Guru Mendidik Insan Dengan Setulus Hati
Membimbing Generasi Masa Depan
Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara
Menjayakan Hasrat Yang Murni Satu Malaysia
Pendidik Berinovasi Menghasilkan Kreativiti
Bersedia Hadapi Cabaran
Arus Tanpa Sempadan
Pendidik Yang Berkualiti
Membentuk Akhlak Terpuji
Mengimbangkan Rohani
Jati Diri Dan Jasmani
Guru Mendidik Insan Dengan Setulus Hati
Membimbing Generasi Masa Depan
Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara
Menjayakan Hasrat Yang Murni Satu Malaysia
Satu Malaysia… Satu Malaysia
"The mediocre teacher tells.
The good teacher explains.
The superior teacher demonstrates.
The great teacher inspires."
Sunday, May 1, 2011
Tuesday, April 12, 2011
Kursus Perguruan Lepas SPM Ambilan Khas UEC, SMA atau SMU
Wednesday, March 30, 2011
Permohonan Pertukaran Antara Negeri Jun 2011
Keputusan Permohonan Pertukaran Guru Jun 2011 dijangka dikeluarkan mulai 22 Mei 2011.
Sunday, March 27, 2011
Berkenaan Cukai Pendapatan
1. Individu yang mempunyai pendapatan penggajian tahunan melebihi RM26,501 (selepas potongan KWSP, elaun sara hidup COLA, elaun khidmat awam, elaun perumahan dan lain-lain) perlu mendaftar fail cukai pendapatan. Sekiranya pekerja layak dikenakan potongan PCB, pekerja dinasihatkan mendaftar fail cukai pendapatan terlebih dahulu sebelum potongan PCB dibuat.
2. Permohonan pendaftaran nombor rujukan cukai pendapatan boleh dilakukan di cawangan yang berhampiran. Dokumen-dokumen yang diperlukan untuk pendaftaran adalah seperti berikut:
- Satu salinan Borang Penyata Pendapatan (Borang EA/EC) terkini / Slip Gaji terkini;
- Satu salinan kad pengenalan/kad pengenalan polis/kad pengenalan tentera/passport antarabangsa;
- Satu salinan sijil perkahwinan (jika ada).
Anda juga boleh membuat pendaftaran nombor rujukan cukai melalui e-Daftar.
Walau bagaimanapun, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan, rebat seperti zakat dan nilai tempat kediaman disediakan oleh majikan secara bulanan untuk mendapatkan jumlah potongan lebih tepat.Antara pelepasan yang boleh dituntut seperti bil perubatan ibu bapa, pembelian komputer, yuran melanjutkan pelajaran, buku dan pelepasan lain. Tuntutan itu mengurangkan jumlah PCB dan memberi gambaran lebih jelas terhadap jumlah sebenar cukai mereka.
Tuntutan itu boleh dilakukan menerusi borang khas (diperoleh melalui majikan atau laman web LHDN) yang kemudian dikemukakan kepada bahagian gaji majikan sama ada secara bulanan atau tiga bulan sekali atau enam bulan sekali bergantung kepada ketetapan dibuat majikan.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang LHDN di http://www.hasil.gov.my
Sunday, March 13, 2011
Monday, March 7, 2011
Prosedur Pengesahan Lantikan dan Perkhidmatan
Surat Pekeliling Suruhanhaya Perkhidmatan Awam Bilangan 3 Tahun 2011: Prosedur dan Kaedah Pengesahan dalam Perkhidmatan
Hitam Putih Isu Kursus Kenegaraan BTN
Berikut pula Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 13 Tahun 2010 mengenai pemansuhan PTK yang turut menyentuh tentang Kursus Kenegaraan BTN.
Kemudahan Cuti Bersalin Pegawai Perkhidmatan Awam
KEMUDAHAN CUTI BERSALIN PEGAWAI PERKHIDMATAN AWAM
Monday, February 28, 2011
Guru belum sah jawatan layak mendapat cuti bersalin..
Saya dijangka akan bersalin pada 3 Januari 2011.. Memandangkan sekolah saya belum mempunyai kerani, saya terpaksa berurusan dengan kerani di sekolah induk (sekolah yang membuat gaji guru-guru di sekolah saya) tentang cuti bersalin bagi guru-guru yang belum sah jawatan.. Alhamdulillah semuanya selesai tanpa banyak persoalan disebabkan kemungkinan kerani sekolah tersebut memang biasa berhadapan dengan masalah seperti ini. Lebih-lebih lagi apabila saya sudah menunjukkan pekeliling dari NUTP yang menyatakan guru yang belum sah jawatan layak mendapat cuti bersalin.. Di sini saya sertakan pekeliling yang telah saya perolehi :
Alhamdulillah lega rasanya bila masalah sudah selesai..
26 Disember 2010 - Saya telah selamat bersalin..
3 Januari 2011 - Sesi persekolahan penggal pertama telah bermula.. Saya masih di dalam cuti bersalin.. Pihak sekolah mohon supaya saya menghantar surat pengesahan bersalin daripada hospital untuk memudahkan mereka memohon guru ganti..
4 Januari 2011 - Saya telah menghantar maklumat yang diperlukan bagi guru yang memohon cuti bersalin kepada pihak sekolah melalui email..
10 Januari- Saya menghantar maklumat yang original melalui pos.
18 Januari - Saya mendapat maklumat dari pihak sekolah bahawa kerani di pejabat pelajaran daerah menyatakan saya tidak layak mendapat cuti bersalin melainkan 3 jenis cuti sahaja yang layak saya pohon disebabkan saya belum sah jawatan :
1) Cuti Sakit = 14 hari
2) Cuti tanpa gaji
3) Cuti dengan mencari pengganti dan membayar gaji guru pengganti sendiri
Terkejut dengan kenyataan tersebut, saya terus berhubung dengan Jabatan Pelajaran Negeri. Ternyata sebenarnya kebanyakan guru-guru di tempat saya mengajar agak 'tertipu' dengan kenyataan tersebut.. Pihak JPN menyatakan saya layak mendapat cuti dengan gaji bertangguh (gaji akan diperolehi selepas mendapat lantikan tetap).. Terbayang saya macamanalah kalau saya mengambil cuti sakit 14 hari.. Sudahlah sakit bersalin belum habis, terpaksa pula mengajar dalam keadaan masih berpantang.. Cuti tanpa gaji pula terpaksa mengorbankan senioriti setahun.. Cuti dengan membayar pengganti sendiri pun sangatlah tidak logik kerana kerajaan sudah menyediakan peruntukan khas bagi guru-guru ganti.. Kenapa pula kita yang kena bayar??? Akhirnya saya memberanikan diri untuk berhubung terus dengan kerani di PPD dan menjelaskan kepada beliau tentang kenyataan dari pihak JPN bahawa saya layak mendapat cuti.. Jawapan dari kerani PPD - "Saya tidak berani meluluskan cuti ustazah.. Kita tunggulah pihak sekolah menghantar permohonan cuti bersalin kepada JPN dan tunggu pihak JPN menghantar kelulusan permohonan tersebut.. " Pening juga saya disebabkan desakan pihak sekolah yang sangat memerlukan guru ganti.. Kalau nak tunggu kelulusan dari JPN, lama-lama cuti saya pun dah dekat nak habis sebab saya dijangka akan mula mengajar pada 24 Februari 2011..
25 Januari 2011 - Saya mendapat telefon dari pihak sekolah bahawa kerani baru sudah melapor diri di sekolah mulai hari ini.. Kerani baru tersebut juga mengatakan saya tidak layak mendapat cuti melainkan cuti tanpa gaji.. Saya pun bertanya kembali kepada kerani tersebut sama ada gaji saya akan dikembalikan atau tidak selepas saya mendapat lantikan tetap dari SPP.. Kerani tersebut menyatakan TIDAK.. Pening saya dibuatnya apatah lagi bila memikirkan kerani tersebut yang akan membuat gaji saya.. Habis lah saya kalau tiada gaji 2 bulan.. Akhirnya saya menelefon kerani induk (kerani yang membuat gaji saya sebelum ini) untuk menyelesaikan masalah saya.. Akhirnya masalah selesai juga apabila kerani induk menyatakan gaji saya sudah diselesaikan sehingga bulan 3.. Akhir bulan 3 pula kemungkinan saya akan mendapat lantikan tetap seterusnya layak mendapat gaji semasa cuti bersalin.. Alhamdulillah semuanya selesai tanpa melibatkan kerani baru di sekolah saya...
Itulah pengalaman yang agak memeningkan kepala apabila melibatkan guru yang belum sah jawatan ini.. Kesimpulannya, siasatlah dulu pekeliling sebelum mengikut arahan dari orang atasan sebab kemungkinan hak kita yang sepatutnya kita dapat akan mudah dipijak oleh orang lain.. Kesian juga apabila mengenangkan guru-guru di sekolah saya ada yang baru 14 hari bersalin terpaksa datang juga mengajar di sekolah walaupun masih dalam pantang.. Lebih malang lagi apabila terpaksa membayar guru ganti menggunakan duit kita sendiri....
oleh : www.musafirditanahgersang.blogspot.com
Wednesday, February 23, 2011
Berkenaan Kursus Biro Tatanegara (BTN)
Berikut dilampirkan sumber kenyataan yang dipetik daripada laman sesawang BTN :
Monday, February 21, 2011
Movie Mesti Tonton!
Ar-Risaalah The Message Arabic (English Subtitle) Part 2
Omar Mukhtaar - Lion of The Desert
P/S: Untuk rakan-rakan Alumni, jika anda ada video menarik untuk dimuatnaik di Youtube, bolehlah gunakan 'username' dan 'password' emel gmail blog (account emel pismk telah di-link-kan dengan account Youtube).
Thursday, February 17, 2011
Hanya Klik 'Like' @ Facebook untuk Membantu Mereka yang Memerlukan Air!
KRISIS air di negara-negara mundur menjadikan rakyatnya bukan sahaja tidak mempunyai capaian kepada air bersih, bahkan terdedah kepada pelbagai penyakit merbahaya.
Perangkaan Majlis Air Sedunia mendedahkan, 1.1 bilion penduduk dunia tidak mendapat bekalan air yang selamat diminum manakala 2.6 bilion lagi hidup tanpa kemudahan loji pembersihan air yang sempurna.
Justeru, BROS dan World Vision Malaysia bergabung melancarkan kempen kesedaran mengenai krisis air di Facebook melalui projek Klik Air. Orang ramai hanya perlu menekan butang 'Like' di Facebook BROS yang bernilai 50 sen bagi satu klik.
Ketua Pegawai Eksekutif World Vision, Liew Tong Ngan berkata, laporan sama juga menunjukkan sebanyak 1.8 juta penduduk dunia mati setiap tahun akibat penyakit cirit-birit yang berpunca daripada bekalan air tercemar dengan 90 peratus daripada mangsa adalah kanak-kanak berusia bawah 5 tahun.
"Oleh itu, kami mengambil inisiatif bersama melancarkan projek Klik Air di laman sosial Facebook supaya komuniti dalam talian dapat sama-sama menyumbang," katanya.
Menurut beliau, bermula 14 Februari ini, setiap klik pada simbol Like di laman Facebook BROS iaitu www.facebook.com/brosnews, BROS akan menyumbang 50 sen untuk membeli dua sistem rawatan kumbahan dan sistem bekalan air untuk masyarakat yang memerlukan di Vietnam.
"Sasaran kempen menerusi laman peminat BROS ini adalah untuk mendapatkan 20,000 klik pada simbol 'Like' bagi membolehkan sebanyak RM10,000 digunakan untuk membina dua sistem air dan rawatan kumbahan itu.
"Bukan bertujuan untuk sumbangan semata-mata, projek ini diharap dapat mendorong rakyat Malaysia untuk berfikir lebih mendalam mengenai kesengsaraan orang lain dan bersyukur dengan penggunaan sumber yang tidak ternilai," katanya.
Dalam pada itu, BROS memutuskan untuk menganjurkan kempen projek Klik Air menerusi Facebook kerana rakyat Malaysia termasuk dalam kelompok pengguna paling ramai di dunia melawat laman web sosial.
Menurut Pengarah Pembangunan Perniagaan Living Wing Sdn. Bhd., Terence Lee, semakin ramai pengguna mendapatkan maklumat dan menyokong kempen yang dijalankan menerusi laman sosial seperti Facebook.
"Atas sebab itulah kami menjalankan Projek Klik Air ini sebagai satu peluang untuk mengajak orang ramai ke arah memenuhi keperluan asas manusia iaitu mendapatkan bekalan air yang bersih dan selamat," katanya.
Sememangnya pembiayaan projek air bersih bukanlah sesuatu yang baru untuk BROS.
Selama lebih setahun BROS telah mengumpulkan dana untuk program pembangunan di Nalaikh, Mongolia melalui sumbangan RM1 kepada World Vision dari setiap pembelian botol air BROS Crystal terpilih.
"Bagi anda, ia mungkin sekadar satu klik, tetapi bagi beribu-ribu lagi yang memerlukan, ia bererti memberikan harapan baru dalam hidup mereka," katanya.
Sumber: Kosmo Online
Jangan Lengah
Oleh: Magendran Rajagopal
magendran@bharian.com.my
17/02/2011
PUTRAJAYA: Makin lewat dibayar lebih tinggi kompaun akan dikenakan terhadap pesalah lalu lintas mengikut penyelarasan kadar kompaun dan penyusunan semula kategori kesalahan lalu lintas berkuat kuasa 1 Mac ini.
Penyelarasan dan penyusunan semula kompaun yang dikeluarkan polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dipersetujui Kabinet semalam mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2010).
Sistem baru itu turut menawarkan pengurangan kadar kompaun lebih tinggi jika pesalah lalu lintas melunaskan bayaran lebih cepat iaitu dalam tempoh 15 hari pertama, 15 hari kedua dan 30 hari berikutnya kecuali bagi kesalahan serius dalam kategori pertama.
“Saman lalu lintas yang tidak dibayar selepas hari ke-60 akan terus didaftarkan sebagai kes mahkamah dan hukuman akan dijatuhkan mahkamah mengikut akta berkenaan," katanya pada sidang media selepas majlis sambutan Tahun Baru Cina peringkat kementeriannya, di sini semalam.
Cho Ha berkata, mengikut kategori pertama, kenderaan dibahagikan kepada dua kelas iaitu kelas pertama motosikal 250cc ke bawah dan kelas kedua membabitkan semua jenis kenderaan lain.
"Kategori kedua, kadar kompaun mengikut tahap serius sesuatu kesalahan dan jenis kesalahan manakala kategori ketiga menetapkan nilai kompaun mengikut prinsip 'the more you delay, the more you pay'.
Kategori keempat ialah kompaun berganda terhadap pemandu yang melakukan kesalahan berulang, termasuk kesalahan kategori pertama, kedua dan ketiga atau gandingan mana-mana kesalahan dalam kategori itu sebanyak tiga kali atau lebih dalam tempoh dua bulan daripada tarikh melakukan kesalahan pertama," katanya.
Tiga kategori kompaun yang dikenakan sekarang, ialah pertama, membabitkan kesalahan secara langsung yang boleh menyebabkan kemalangan, menjejas kepentingan awam dan kepentingan penguatkuasaan, kompaun antara RM200 hingga RM300.
Kategori kedua, bagi kesalahan secara tidak langsung menyebabkan kemalangan, menjejaskan kepentingan awam dan kepentingan penguatkuasaan kompaun dikenakan antara RM150 hingga RM200 manakala kategori ketiga membabitkan kesalahan selain kategori pertama dan kedua dikenakan kompaun antara RM100 hingga RM150.
Mengenai hubungan sistem KEJARA dan penggantungan lesen memandu, Cho Ha berkata, mereka yang melunaskan kompaun dalam tempoh tiga bulan selepas dikeluarkan tidak akan diberikan mata demerit.
Pada masa ini, pemegang lesen memandu percubaan (PDL) yang menerima 10 markah demerit KEJARA akan dikenakan tindakan digantung lesen manakala tindakan sama dikenakan terhadap pemilik lesen memandu kompeten (CDL) yang mengumpul 15 markah demerit apabila melakukan kesalahan tertentu.
Jika markah habis ditolak kali pertama, lesen akan digantung sebulan, kali kedua tiga bulan, kali ketiga enam bulan dan selepas kali ketiga lesen akan digantung terus.
Katanya, majoriti pesalah enggan menjelaskan bayaran kompaun pada masa sekarang adalah kerana khuatir dikenakan mata demerit dan kemungkinan lesen memandu digantung atau dibatalkan.
"Kadar maksimum kompaun dikekalkan RM300 bagi kesalahan yang menyumbang kepada kadar kemalangan, kesesakan lalu lintas dan kesalahan berkaitan perkhidmatan teksi manakala bagi kategori lain, kadar kompaun adalah berdasarkan tempoh pembayaran dan mengikut tahap serius sesuatu kesalahan.
"Kesalahan serius adalah yang menyumbang kepada kadar kemalangan dan kematian yang tinggi seperti memandu melebihi had laju, memandu terlalu hampir dengan kenderaan di hadapan, melanggar lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, memandu di lorong kecemasan dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
"Ini ditakrif pihak polis dan JPJ sebagai kesalahan serius yang perlu dikenakan kompaun lebih tinggi iaitu maksimum RM300, berbanding kesalahan lain," katanya.
Sumber: Berita Harian Online | Jangan lengah
Tuesday, February 15, 2011
Bercinta dengan Rasulullah SAW
Pepatah Melayu ada menyebut - "Tak kenal maka tak Cinta". Ungkapan ini, antara lain membawa maksud, jika kita tidak kenal dengan seseorang bagaimana mungkin kita dapat menzahirkan perasaan cinta terhadapnya. Tidak pernah wujud orang yang bercinta dengan seseorang yang tidak pernah diketahui atau dikenalinya terlebih dahulu.
Tidak hairanlah di dalam Islam, perkara pertama yang perlu dititikberatkan sebagai Muslim ialah mengenal Allah atau di dalam Bahasa Arabnya berbunyi -Awwaluddin Ma'rifatullah. Sebab itulah, jika dilihat kepada ayat-ayat Al-Quran yang terawal diturunkan atau yang juga dipanggil Ayat Makkiyyah (yang diturunkan di Makkah), kebanyakannya menceritakan tentang kebesaran Allah atau aspek-aspek berkaitan akidah yakni keesaan Allah.
Ini kerana pada ketika itu, masyarakat jahiliyyah masih menyembah berhala dan mengamalkan pelbagai amalan khurafat yang lain. Ayat-ayat yang kebanyakannya dimulakan dengan ungkapan 'Ya Ayyhuhannas' ini bertujuan untuk membersihkan jiwa manusia daripada unsur syirik dan khurafat tersebut.
Hanya setelah unsur-unsur jahiliyyah dan syirik tersebut dinyahkan, barulah prinsip-prinsip serta syariat Islam yang lain dapat diterapkan ke dalam diri seorang Muslim.
Jika dilihat pada ayat-ayat Makkiyyahtersebut, tidak dinyatakan tentang persoalan Ibadat seperti Solat, Zakat, Haji dan sebagainya. Ini kerana, persoalan Ibadat yang merupakan manifestasi cinta seseorang hamba kepada tuhannya hanya akan datang apabila seseorang itu telah mengenal tuhannya atau dalam kata lain - telah jelas dari sudut akidahnya.
Kenal Allah, Baru Ibadat
Jika teori ini diambil kira, maka pendekatan dalam berdakwah kepada Non-Muslim kita pada hari ini tidak sepatutnya didahulukan dengan perkara Ibadat. Bagaimana mungkin kita ingin menyuruh Non-Muslim melakukan ibadah jika mereka terlebih dahulu belum mengenal Allah. Bila mereka sudah kenal Allah, barulah beransur-ansur akan datang perasaan ingin menunjukkan rasa kasih dan cinta kepadaNya iaitulah melalui amal ibadah yang telah disyariatkan.
Begitulah juga cinta kita kepada Rasululluah SAW. Bagaimanakah agaknya cara untu menzahirkan perasaan cinta kepada baginda? Sudah tentulah persoalan tersebut hanya dapat dirungkaikan dengan kita terlebih dahulu mengenal Rasulullah SAW.
Mengenal Rasulullah SAW, antara lain bermaksud kita tahu apa yang baginda suka dan apa yang baginda benci atau apa yang baginda suruh dan apa yang baginda larang. Jika kita enggan membuat perkara yang baginda suka atau masih membuat perkara yang baginda larang, maka kita masih belum cukup kenal, jauh sekali untuk bercinta dengan baginda.
Suami Isteri
Sebagaimana kedaannya sepasang suami isteri yang saling mencintai antara satu sama lain. Si suami akan berusaha membuat apa yang disukai dan meninggalkan apa yang dibenci isterinya sebagai tanda dan bukti cinta yang tidak berbelah bahagi kepada isterinya. Namun, jika si isteri melihat si suami sudah tidak lagi membuat perkara yang disukainya atau membuat perkara yang dibencinya, maka ia seolah menunjukkan cinta dan sayang si suami tadi sudah semakin pudar.
Maka, begitulah juga halnya dengan cinta kita kepada Rasulullah SAW. Tidak sempurna cinta kita kepada baginda jika kita tidak melaksanakan arahan serta mengamalkan sunnah baginda di dalam kehidupan seharian.
Memperlekeh & Membenci??
Bagaimanakah kita ingin mengatakan kita cintakan Rasulullah jika kitalah orang pertama yang memperlekehkan dakwah baginda? Bagaimanakah kita ingin katakan yang kita amat menyintai baginda jikalau kitalah orang yang paling bencikan sunnah dan ajaran baginda?
Jika Rasulullah tidak pernah melebihkan kaum Arab ke atas kaum yang lain - kerana setiap anak adam itu sama sahaja di sisi Allah melainkan yang bertaqwa, kita pula membeza-bezakan darjat sesama manusia hanya kerana bangsa dan warna kulit.
Jika Rasullullah SAW menjadikan dakwah Islamiah sebagai agenda hidup-mati baginda, kita pula hanya menjadikannya kerja-kerja part-time yang bersifat bermusim malah mengharapkan balasan duniawi di sebalik kerja-kerja tersebut. Jika baginda sanggup menghukum anakanda baginda Fatimah sekiranya beliau mencuri, kita pula lebih suka menyebelahi anak kita meskipun anak kita melakukan kesilapan.
Malah, jika kita seorang yang berpengaruh, kita akan cuba sedaya upaya menggunakan pengaruh dan kuasa untuk memastikan anak kita yang bersalah itu dilindungi atau tidak dihukum. Jika Rasulullah menyuruh kita menjaga batasan pergaulan dan menutup aurat, kitalah orang yang paling gemar mendedahkan aurat dan bergaul bebas tanpa batasan.
Jika Rasulullah menyuruh kita berlaku adil - iaitu memberikan hak kepada mereka yang berhak, kita pula hanya memberikan hak kepada orang yang kita sayangi, yang kita kenali, yang mempunyai persamaan dengan kita, meskipun kekadang mereka tidak berhak! Jika Rasulullah mewasiatkan kita untuk berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan hidup, kita kadangkala tidak ambil pusing akan apa yang terkandung di dalam kedua-duanya.
Jika Rasulullah menyuruh kita bercakap benar, kitalah orang yang paling suka membuat spekulasi palsu untuk kepentingan diri. Jika Rasululllah menganjurkan agar kita takutkan kemurkaan Allah lebih dari segala-galanya di atas muka bumi ini, kita pula lebih takutkan sesama manusia, lebih-lebih lagi jika ia berkait dengan periuk nasi kita.
Jika Rasulullah menyuruh kita mengasihi orang lain sebagaimana kita mengasihi diri kita, kita pula hanya mementingkan diri sendiri. Jika Rasulullah menyuruh kita menunaikan amanah yang telah dimanahkan - lebih-lebih lagi jika ia berkait dengan kepentingan umum, kitalah orang yang paling gemar mengkhianati amanah tersebut.
Berarak Sahaja Tidak Cukup
Nah, jika kita masih melakukan apa yang Rasulullah tidak suka, bagaimana mungkin kita katakan kita sudah cukup kasih akan baginda! Sesungguhnya, kasihkan baginda tidak memadai dengan hanya berarak dan berselawat memuji baginda, tetapi juga menginsafi falsafah diutuskan baginda kepada kita semua - iaitu tidak lain dan tidak bukan sebagai rahmat sekalian alam.
Moga-moga belum terlewat untuk kita kembali 'menghargai' rahmat yang didatangkan kepada kita melalui pengutusan baginda Rasulullah SAW. Mudah-mudahan dengan cinta dan kasih kita yang tidak berbelah bahagi ini, kita akan beroleh syafaat baginda di akhirat kelak seterusnya sama-sama menghuni syurga Allah bersama-sama baginda, para anbiya', solihin dan pejuang-pejuang agama suci ini.
Salam Maulidurrasul - 12 Rabi'ul Awwal 1432 Hijriyyah.
Sunday, February 13, 2011
Info Bulan Islam: Rabiul Awwal
Bulan Rabiulawal bermaksud bulan dimana bermulanya musim bunga bagi tanaman. Mengikut kebiasaannya di Tanah Arab, sewaktu bulan Rabiulawal pokok buah-buahan mula berbunga dan seterusnya berbuah.
Maka nama bulan ini diambil sempena musim berbunga tanaman mereka. Dan setelah kedatangan Islam, Rasulullah saw telah mengekalkan nama Rabiulawal ini sehinggalah sekarang.
Peristiwa-peristiwa Penting dalam Bulan Rabiul Awwal
Ada banyak peristiwa penting yang telah dicatatkan oleh sejarah jatuh bangunnya tamadun Islam di dalam bulan Rabiul Awal ini dan diantaranya ialah:
1. Kelahiran junjungan besar kita, Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w.
Mengikut sumber-sumber mengatakan bahawa Nabi lahir pada 12 Rabiul Awwal tahun gajah bersamaan 23 April 571M. Ini adalah sumber yang masyhur dan menjadi amalan umat Islam mengadakan sambutan Maulidurrasul pada 12 Rabiul Awwal di setiap tahun sehinggalah sekarang. Walau bagaimanapun ada sumber yang lain mengatakan bahawa nabi lahir pada 9 Rabiul Awwal tahun Gajah. Perbezaan pendapat ini akan disentuh lebih lanjut di bahagian Maulidur Rasul.
2. Perlantikan Nabi menjadi Rasul.
Dibulan Rabiul Awwal inilah Nabi Muhammad saw diangkat menjadi Rasul. Ketika ini Nabi Muhammad s.a.w berumur 40 tahun. Maka dengan ini bermulalah dakwah baginda di Makkah al-Mukarramah.
3. Hijrah
Tarikh hijrah adalah tarikh tibanya Rasulullah di Madinah al-Munawwarah pada ketika itu di sebut Yathrib. Rasulullah sampai di Quba' pada hari Isnin 8 Rabiulawal dan Baginda sampai di Kota Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiul Awwal dan Baginda menunaikan solat Jumaat yang pertama.
4. Peperangan
Banyak peperangan yang telah terjadi pada zaman Rasulullah saw diantara tentera Islam dan tentera kuffar. Diantara peperangan yang berlaku di bulan Rabiul Awwal ialah peperangan Safwan (Badar pertama), Bawat, Zi Amar (Ghatfan), Bani An-Nadhir, Daumatul Jandal dan peperangan Bani Lahyan.
5. Wafatnya junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah s.a.w
Rasulullah telah wafat pada hari Isnin 12 Rabiulawal 11H bersamaan 7 Jun 632M. Baginda wafat di rumah isterinya Aisyah r.a dan dikebumikan di Madinah al-Munawwarah.
6. Abu Bakar r.a menjadi khalifah
Pada hari Rasulullah wafat, para sahabat tidak mahu menangguh urusan pentadbiran kerajaan dan segera membai'ah Saidina Abu Bakar r.a di Dewan Bani Sa'idah. Ini adalah kerana urusan pentadbiran negara tidak boleh terhenti walau seketika dan ia adalah nadi sesebuah kerajaan. Sebahagian sahabat pula menguruskan pengkebumian jenazah Rasulullah s.a.w yang diketuai oleh Saidina Ali r.a Ahlul-Bait Rasulullah s.a.w.
7. Pembukaan Iraq
Tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid Ibni Walid r.a telah memasuki Iraq dan bermulalah pemerintahan Islam di bumi Iraq di zaman Saidina Abu Bakar ra.
8. Pembukaan Baitul Muqaddis
Salahuddin al-Ayubi telah memimpin tentera Islam menewaskan tentera Salib dan seterusnya membuka pintu bagi pembukaan Baitul Muqaddis pada tahun 583 H.
9. Kejatuhan Empayar kerajaan Islam Sepanyol
Kubu terakhir tentera Islam di Andalusia telah ditumbangkan oleh tentera Sepanyol yang dipimpin oleh Ferdinando dan Isabella pada tahun 897H. Bermulalah kemusnahan tempat-tempat bersejarah warisan umat Islam, masjid-masjid ditukar menjadi gereja dan muzium dan tiada lagi suara azan di negara tersebut.
Fadhilat Bulan Rabiul Awwal
Bulan Rabiulawal adalah seperti bulan-bulan Islam yang lain maka amalan sunat di bulan Rabiulawal adalah sama seperti amalan sunat di bulan-bulan yang lain.
Kita dianjurkan untuk meningkatkan amalan-amalan fardu dan sunat tanpa mengira di bulan manapun di sepanjang tahun.
Amalan-amalan kita itu akan menjadi bekalan untuk kita meneruskan perjalanan ke padang mahsyar esok. Masjidil Haram di Makkatul Mukarramah.
Selain dari itu, kualiti ibadah juga adalah diambil kira. Niat dan keikhlasan mempunyai pengaruh yang amat besar dalam menentukan nilai ibadah kita. Diantara syarat sesuatu ibadah itu diterima ialah niat.
Niat itu akan menggambarkan keikhlasan kita.Kerja yang ikhlas akan membawa kepada kesempurnaan dan kesempurnaan akan membawa kepada kepuasan dan kepuasan akan membawa kepada ketenangan.
Moga kita sama-sama dapat meningkatkan amalan ibadat kita agar kita mempunyai bekalan untuk dibawa ke kampung Akhirat esok, InsyaAllah.
Maulidur Rasul
Seperti kelaziman tahunan, umat Islam di Malaysia akan menyambut hari sempena keputraan Rasulullah saw pada 12 Rabiulawal setiap tahun.Umat Islam di Malaysia akan mengadakan berbagai aktiviti dalam acara sambutan Maulidur Rasul.
Kerajaan Malaysia mengisyhtiharkan 12 Rabiulawal setiap tahun adalah cuti umum. Diantara acara-acara dalam sambutan Maulidur Rasul ialah Perarakan, Syarahan, Forum, Marhaban dan Jamuan di peringkat kampung sehinggalah ke peringkat kebangsaan.
Dalam menentukan tarikh kelahiran Rasulullah saw, ahli-ahli sejarah Islam berbeza pendapat. Pendapat pertama dan masyhur ialah Rasulullah saw lahir pada malam Isnin 12 Rabiulawal dalam Tahun Gajah sebelum subuh. Ini adalah pendapat Ibnu Ishaq yang dipetik oleh Ibnu Hisham dalam kitabnya yang terkenal, Sirah Ibnu Hisham.
Dan pendapat yang kedua ialah pendapat yang mengatakan bahawa Rasulullah saw memang lahir pada malam Isnin, sebelum subuh Rabiulawal tahun Gajah tapi tarikh sebenarnya ialah pada 9 haribulan. Diantara tokoh ulamak-ulamak yang sependapat mengatakan Rasulullah saw lahir pada 9 Rabiulawal ialah Yunus bin Yazid, Ibnu Hazam, Muhammad bin Musa Al-Khawarizmi dan Ibnu Taimiyyah. Dan diantara tokoh-tokoh falak moden yang membuat kajian semula tentang perbezaan pendapat ini ialah Mahmud Pasya seorang ahli falak Mesir dan Dr.(H) Hj. Kassim Bahali, Persatuan Falak Syarie Malaysia.
Mereka menyatakan bahawa Rasulullah saw lahir pada 9 Rabiulawal. Ini adalah berdasarkan kepada Taqwim Qamariah tulen tanpa Nasi' dan dikebelakangkan 53 tahun dari tahun pertama Hijrah. Didapati bulan kelahiran Rasulullah saw iaitu bulan Rabiulawal jatuh pada bulan April 571 M. Berdasarkan hitungan, Ijtimak berlaku pada 10 April 571M pada 8;21 UT.
Menurut kaedah kebolehnampakan hilal, 1 Rabiulawal jatuh pada hari Ahad, 12 April 571M dan hari Isnin yang bertepatan adalah 9 Rabiulawal manakala 12 Rabiulawal jatuh pada hari Rabu.
Rasulullah s.a.w. telah dilahirkan di sini.
Dalil seterusnya yang mengatakan bahawa Rasulullah lahir pada 9 Rabiulawal ialah pada Isnin 9 Rabiulawal (20 April), fasa bulan adalah 64.4% dan bulan ghurub pada pukul 2:26 pagi. Apabila bulan ghurub awal maka langit ketika itu kelihatan cerah dengan bintang-bintang yang dapat dilihat lebih banyak kerana tiada gangguan cahaya bulan.
Ini bertepatan dengan kisah kelahiran sewaktu dilahirkan Rasulullah saw bahawa sebelum subuh, langit adalah kelihatan sangat cerah dengan cahaya bintang-bintang yang bertaburan. Walau bagaimanapun, itu adalah pendapat individu tertentu dengan pengkajian mereka.
Moga ada pihak lain yang dapat membuat kajian lebih lanjut dalam menetapkan tarikh kelahiran Rasulullah saw. Kajian-kajian lanjut itu sebenarnya akan lebih memajukan lagi perkembangan ilmu Sejarah dan Falak. Malah tarikh-tarikh peristiwa penting Islam yang lain juga wajar dibuat hitungan semula. Kita umat Islam di alaf baru sekarang telah banyak melahirkan ahli-ahli Sejarah Moden, Falak / Astronomi dan ahli-ahli Sains yang lain yang pastinya akan mengembang dan menyumbang kepada penguasaan ilmu pengetahuan kepada pembangunan ummah, InsyaAllah.
Objektif diadakan sambutan Maulidur Rasul ialah untuk mengembalikan ingatan kita umat akhir zaman terhadap junjungan besar kita Muhammad Rasulullah saw. Dengan mengingatinya akan menambahkan lagi perasaan cinta kasih kepadanya serta mengenang, menghargai serta mengambil iktibar kisah suka duka perjuangannya. Walaupun sambutan Maulidur Rasul ini adalah satu adat sahaja tapi ia adalah adat yang bersifat ibadah dan wajar diteruskan, InsyaAllah.